Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:57pm
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (tengah), Pengarah Strategi dan Prestasi KWAP, Ismail Zakaria (kanan) dan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Profesor Dr Tengku Aizan Hamid (kiri) pada sidang akhbar pelancaran kajian KWAP-MyAgeing mengenai persediaan dan produktiviti persaraan di kalangan penjawat awam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Malaysia perlu sedia jadi 'negara tua' pada 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi 'negara tua' menjelang 2030 dengan memastikan setiap pelaksanaan tindakan, perancangan dan reka bentuk dalam perancangan nasional memenuhi keperluan itu.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Tengku Aizan Hamid, berkata ketika ini negara mempunyai polisi dalam berhadapan perkara itu tetapi pelaksanaannya masih terlalu perlahan.

Tengku Aizan berkata, secara dasarnya Malaysia masih belum bersedia berhadapan dengan negara tua kerana banyak infrastruktur termasuk pekerjaan, pendidikan dan simpanan kewangan masih belum berada di tahap terbaik.

“Kita memandang perkara ini dalam tempoh waktu yang panjang dan ketika ini kita masih belum bersedia sepenuhnya. Ini kerana ketika ini umur persaraan wajib adalah 60 tahun dan jika kita berganjak ke negara tua, adakah masih mahu menggunakan usia persaraan wajib itu.

“Ada kajian yang menyatakan jika umur persaraan wajib itu dipanjangkan lagi, ia sebenarnya tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada golongan muda. Malah banyak negara maju tiada umur persaraan wajib seperti yang diaplikasikan di sini.

“Jadi had umur pekerjaan seharusnya dikaji semula. Perkara lain adalah seperti infrastruktur pengangkutan awam dan persekitaran juga tidak menjurus ke arah negara tua, dan adakah sesuai untuk negara tua. Isu utama di sini adalah keupayaan dan kesediaan negara berhadapan dengan situasi itu,” katanya kepada Bisnes NSTP, hari ini.

Sebelum itu, MyAgeing bersama dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) melancarkan kajian KWAP-MyAgeing mengenai persediaan dan produktiviti persaraan di kalangan penjawat awam.

Tengku Aizan berkata, jika negara berhadapan dengan negara tua, simpanan selepas persaraan juga perlu dipertingkatkan selain penekanan mengenai pengetahuan dalam pengurusan kewangan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategi dan Prestasi Korporat KWAP, Ismail Zakaria, berkata berdasarkan kajian KWAP-MyAgeing itu, 25 peratus responden masih mempunyai hutang terkumpul manakala 23 peratus responden yang bersara kurang dari tiga tahun tidak mempunyai insurans kesihatan.

Ismail berkata, 25 peratus responden pula masih mempunyai hutang terkumpul dan 23 peratus responden yang bersara kurang dari tiga tahun tidak mempunyai insurans kesihatan.

“Apa yang membimbangkan dalam kajian ini adalah penjawat awam berumur 40 tahun ke atas banyak terjebak dalam pengambilan pembiayaan peribadi sekaligus menjerat mereka dalam kancah hutang walaupun selepas usia persaraan.

“Penjawat awam sering menjadi tumpuan pemberian pembiayaan kerana pembayaran gaji yang konsisten dan kukuh. Apa yang menjadi persoalan ketika ini, atas dasar apakah mereka mahu mengambil pembiayaan peribadi itu. Lantaran itu KWAP bersama MyAgeing akan meneruskan lagi kajian sebegini bukan saja untuk penjawat awam tetapi kepada pekerja swasta.

“Namun dalam kajian itu, kami juga mendapati 61.5 peratus responden berusia 40 tahun ke bawah pula mengakui mereka memerlukan nasihat kewangan untuk menghadapi persaraan,” katanya.

Berita Harian X