Rabu, 31 Oktober 2018 | 2:13pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim. - Foto Abdullah Yusof

Pelaksanaan biodiesel B10 mampu jimat subsidi kerajaan RM10.7 juta setahun

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan biodiesel B10 dalam sektor pengangkutan, sekiranya berjaya dilakukan, mampu memberi penjimatan subsidi kerajaan sebanyak RM10.7 juta setahun, demikian menurut Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Katanya, penggunaan biobiesel B10 itu akan turut memberi penjimatan kerajaan dari segi kos pengimportan diesel sebanyak RM1.6 bilion setahun.

“Ini kerana, harga biodiesel pada masa ini adalah RM2.2857 seliter manakala harga kos diesel semasa adalah RM2.3105 seliter,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) berhubung usaha kementerian dalam meningkatkan penggunaan minyak sawit sebagai biodiesel.

Kok berkata, harga diesel industri berada pada paras RM2.60 sehingga RM2.80 seliter berbanding RM2.28 seliter untuk biodiesel.

Katanya, penggunaan B7 di sektor industri akan memberi penjimatan kos bahan api kepada pihak industri sebanyak RM6.5 juta setahun sekiranya harga ini berterusan.

Sehubungan itu, kerajaan komited meningkatkan penggunaan biodiesel di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Program biodiesel negara diperkenalkan pada 2011 dengan kadar adunan B5 (lima peratus biodiesel sawit dengan 95 peratus diesel petroleum).

Ketika ini, kadar adunan yang terdapat di stesen minyak di seluruh negara adalah B7 (tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum) di bawah program B7 di sektor pengangkutan, manakala sektor industri masih kekal menggunakan diesel biasa (B0).

B7 menggunakan sebanyak 350,000 tan minyak sawit setahun.

“Kementerian akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dalam masa terdekat berhubung cadangan meningkatkan kadar adunan kepada B10 untuk sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri di seluruh negara.

“Kedua-dua program ini dijangka menggunakan sebanyak 760,000 tan minyak sawit dalam negara setahun, seterusnya mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran,” katanya.

Kok akan ke Indonesia pada 8 November ini, bagi membincangkan strategi tindakan balas ke atas kempen anti minyak sawit. - BERNAMA

Berita Harian X