Rabu, 31 Oktober 2018 | 7:03pm

Pinjaman mudah boleh bantu PKS laksana Industri 4.0: FMM

KUALA LUMPUR: Penyediaan pinjaman mudah dilihat mampu membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk menampung kos awal yang tinggi dalam menggunakan teknologi Industri 4.0.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai, berkata dengan melaksanakan teknologi Industri 4.0 akan meningkatkan daya saing PKS dan pengilang tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan global.

Beliau berkata, daya saing adalah perkara penting bagi pengilang dan PKS, justeru PKS tidak mempunyai pilihan iaitu dengan melangkah ke dalam Industri 4.0 untuk terus berdaya saing.

“Dari segi pembiayaan, PKS dan pengilang akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan mengenai bagaimana untuk bekerjasama bagi mendapatkan bantuan memandangkan kos permulaan melaksanakan Industri 4.0 adalah tinggi.

“Kemungkinan MIDF dan Exim Bank boleh menyediakan pinjaman mudah dan kadar (pinjaman) yang rendah. Ini mungkin boleh menarik perhatian PKS untuk melaksanakan Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Dasar Kebangsaan Industri 4.0 atau dikenali Industry4WRD di sini, hari ini.

Thian Lai berkata, negara ASEAN yang lain melaksanakan Industri 4.0 secara agresif, justeru, pengilang dan PKS tempatan tidak boleh ketinggalan dalam melangkah ke dalam Industri 4.0.

Justeru, beliau berkata, FMM akan terus membimbing dan menggalakkan anggotanya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan serta organisasi yang mempunyai teknologi Industri 4.0.

“Kita mampu melangkah ke hadapan (dalam Industri 4.0) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan semua agensi kerajaan,” katanya.

Dasar Kebangsaan Industri 4.0 atau Industry4WRD dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana dasar itu mencartakan laluan negara ini dalam melaksanakan Industri 4.0 dan menjadi negara maju.

Dasar itu disasarkan untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan dan menyediakan kumpulan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor pengilangan, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Berita Harian X