Rabu, 31 Oktober 2018 | 10:00pm
PRESIDEN MIEA, Eric Lim. - Foto Aizuddin Saad

MIEA sokong syor penubuhan lembaga berasingan bagi pengurusan hartanah

KUALA LUMPUR: Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) hari ini menyuarakan sokongan terhadap cadangan penubuhan sebuah lembaga pengurusan hartanah dan kemudahan yang berasingan daripada badan penilaian, berikutan kewujudan banyak peraturan mengawasi profesional perkhidmatan hartanah.

Kalangan profesional seperti pengurus, jurunilai, penntaksir dan ejen hartanah adalah tertakluk mengikut Akta 242 di bawah Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen serta Pengurus Hartanah (BOVEAP) yang diselia Kementerian Kewangan.

Presiden MIEA, Eric Lim, berkata memandangkan akta itu diluluskan 32 tahun lepas, sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak serta menilai semula keberkesanan pengurusan profesion selain menentukan hala tuju masa depannya.

“Kami menggesa pembentukan satu lembaga berasingan bagi ejen-ejen hartanah untuk mengawal selia pengamalnya secara berkesan.

“Ejen-ejen hartanah yang merupakan majoriti dalam profesional itu, tidak diwakili dengan sewajarnya di peringkat lembaga. Profesion ini perlu dikawal selua oleh pengamalnya, sama seperti badan-badan profesional lain di Malaysia dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gesaan itu sebelum ini disuarakan oleh Institut Pengurus Hartanah dan Pengurus Kemudahan Profesional Malaysia yang mahukan pihak BOVEAP lebih peka dan turut mendengar pandangan badan profesional berkaitan.

MIEA merupakan sebuah badan profsional yang mewakili 5,000 pengamal hartanah di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIEA, Chan Ai Cheng berkata Singapura mempunyai seorang ejen hartanah bagi setiap 200 orang manakala di Malaysia nisbahnya adalah seorang bagi setiap 1,264 orang.

“Apa yang kami bimbangkan adalah industri ini tidak berkembang. Setiap tahun, hanya kira-kira 100 ejen hartanah berdaftar memasuki pasaran. Angka ini tidak dapat memenuhi keperluan industri.

“Di Sabah dan Sarawak misalnya, masih banyak pasaran yang tidak dapat mendapat khidmat ini sepenuhnya,” kata Chan.

Beliau berkata, pada tahun lepas misalnya, transaksi hartanah bernilai RM139 bilion dicatatkan dengan 60 peratus daripadanya diusahakan oleh pengamal hartanah. - BERNAMA

Berita Harian X