Khamis, 1 November 2018 | 12:43pm

Malaysia naik 9 anak tangga dalam Laporan Menjalankan Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan antara 20 negara paling berdaya saing dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019 apabila naik sembilan anak tangga untuk berada di tangga ke-15 daripada 190 negara di dunia.

Ia menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN yang menduduki kedudukan kedua tertinggi selepas Singapura yang menjadi penanda aras tertinggi global bagi mengukur tahap kecekapan sesebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan.

Tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-24.

Di kedudukan ke-15, Malaysia mendahului beberapa negara lain seperti Kanada (22), Jerman (24), Jepun (39), China (46) dan India (77).

Di dalam laporan yang dipertingkatkan dari segi kaedah penilaian itu, Malaysia meraih skor 80.60, berbanding 78.43 yang diraihnya tahun lalu.

Dalam laporan itu, Malaysia antara lima negara mempamerkan prestasi tertinggi dalam beberapa bidang dalam menguruskan perniagaan.

Antaranya, Malaysia berada di belakang New Zealand dalam Melindungi Pelabur Minoriti dengan meraih 10 markah penuh. Laporan itu juga mengiktiraf usaha Malaysia meningkatkan permit pembinaan dengan negara berada dalam kelompok tiga teratas menerusi Berurusan dengan Permit Pembinaan.

Menerusi penambahbaikan itu, hanya 54 hari diambil untuk mendapatkan permit pembinaan berbanding 158 hari di kebanyakan negara di dunia dan 133 hari purata di negara rantau Asia Timur dan Asia Pasifik.

Di samping itu, menerusi usaha Mendapatkan Elektrik, Malaysia kini berada di kedudukan keempat di seluruh dunia.Menurut laporan itu, kos bagi perniagaan untuk mendapatkan sambungan elektrik komersial di Malaysia hanya 26 peratus pendapatan per kapita berbanding purata 625 peratus di rantau Asia Timur dan Asia Pasifik.

Bagaimanapun, dari segi Memulakan Perniagaan, Malaysia kekal ketinggalan berbanding negara utama lain dengan menduduki tempat ke-122.

Walaupun beberapa pembaharuan dilakukan tahun lalu dan awal tahun ini, bidang ini memerlukan 9.5 prosedur dan 13.5 hari untuk mendaftarkan perniagaan baru di Malaysia berbanding dua prosedur dan 1.5 hari di Singapura dan 3.5 prosedur dan 5.5 hari di Brunei Darussalam.

Ketua Ekonomi Bank Dunia, Richard Record, berkata usaha berterusan Malaysia untuk mengadaptasi amalan kawal selia terbaik menjadikan pencapaian ini sebagai sesuatu yang bukan mustahil.

“Kami komited untuk mengekalkan sokongan bagi membentuk semula agenda dalam usaha melangkah ke hadapan dengan tumpuan dalam bidang di mana usahawan masih berdepan kesulitan,” katanya pada sidang media pembentangan laporan itu di sini, hari ini.

Menuju ke hadapan, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia bagi membolehkan perniagaan di negara ini dijalankan lebih mudah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X