Khamis, 1 November 2018 | 5:34pm
(DARI kiri) Presiden Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID), Mohammad Faizal Ghazali; Pengerusi MIID Reka, Ar Chris Yap dan Presiden CIS Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim hadir pada majlis pelancaran RiX 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

RiX 2018 tambah ruang pameran sehingga 70 peratus

KUALA LUMPUR: Pameran Dalaman REKA (RiX 2018) yang berlangsung mulai semalam 1 hingga 4 November ini meningkatkan ruang pameran sehingga 70 peratus bagi menampilkan lebih banyak rekaan dalaman dan produk kediaman terkini.

Presiden CIS Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim, berkata RiX 2018 kali ini mendapat pembabitan 330 pempamer dengan 1,100 tapak pameran.

Katanya, pameran itu yang diadakan serentak dengan Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (Homedec) dijangka menarik kehadiran seramai 80,000 pelawat.

“Pameran bahagian kedua ini akan terus memberi inspirasi kepada pengunjung dan pereka berikutan konsep kali ini adalah yang terkini untuk golongan muda yang menampilkan dekorasi daripada siling sehingga ke lantai kediaman.

“RiX adalah platform untuk memberi idea revolusi rekaan, manakala Homedec menyediakan kelengkapan kediaman semua dalam satu termasuk keperluan pengubahsuaian,” katanya di majlis pelancaran RiX 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID), Mohammad Faizal Ghazali.

Homedec berlangsung pada 25 hingga 28 Oktober (bahagaian 1) dan 1 hingga 4 November (bahagian dua). Homedec RiX 2018 dijangka meraih transaksi jualan kira-kira RM100 juta sepanjang kedua-dua pameran berlangsung.

Lim berkata, pihaknya yakin jumlah transaksi jualan itu dapat dicapai terutama dengan penampilan pelbagai produk dan rekaan inovasi yang disediakan oleh pempamer.

“Pada pameran tahun sebelumnya, kita mencapai kira-kira RM100 juta ke RM130 juta dan jumlah ini dijangka dapat dikekalkan,” katanya.

Penganjuran pameran sebanyak dua bahagian itu akan membolehkan orang ramai melihat dan mencari reka bentuk yang menarik, idea inovasi dan konsep terkini dalam dekorasi rumah membabitkan semua aspek kediaman.

Persidangan MIID REKA dan Anugerah Rekaan Antarabangsa REKA turut diadakan sempena RiX 2018.

Persidangan itu menghimpunkan pakar dan profesional dalam rekaan dalaman dari Asia Pasifik termasuk Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Berita Harian X