Jumaat, 2 November 2018 | 8:29pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Program Biodiesel B10 tingkat permintaan kelapa sawit

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Program Biodiesel B10 iaitu campuran 10 peratus kandungan minyak kelapa sawit bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri pada 2019 bagi meningkatkan permintaan kelapa sawit dan menambahbaik kelestarian penggunaan sumber tenaga.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO).

“Bagi industri getah pula, kerajaan komited untuk membantu meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam produk industri dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Sebagai contoh, kerajaan akan memperluas penggunaan getah tempatan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya bagi meningkatkan daya ketahanan jalan di samping mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat. Untuk tujuan ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

“Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, bagi sektor pertanian, Guan Eng berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan.

“Sebanyak RM18 juta untuk automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani termasuk bagi menarik pembabitan golongan muda menceburi sektor agromakanan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X