Jumaat, 2 November 2018 | 9:23pm
PETRONAS akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas di bawah Belanjawan 2019. - Foto hiasan

PETRONAS bayar dividen khas RM30 bilion

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas di bawah Belanjawan 2019.

Ini menjadikan komitmen dividen keseluruhan syarikat minyak dan gas negara itu kepada RM54 bilion bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

PETRONAS dalam kenyataannya hari ini berkata, ia memberi jaminan bayaran dividen khas itu sama sekali tidak akan menjejaskan operasinya.

“Berikutan asas kukuh dan kedudukan kecairan PETRONAS yang kukuh dipacu oleh usaha transformasi sejak beberapa tahun lalu dari segi kecekapan operasi, pengurangan kos dan mengoptimumkan portfolio, selain disokong oleh kenaikan harga minyak, syarikat yakin bahawa bayaran dividen khas ini sama sekali tidak akan menjejaskan keupayaan kami untuk membayar hutang, membiayai operasi akan sedia ada serta melabur untuk pertumbuhan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 hari ini berkata pada 2019, kerajaan persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion, yang merangkumi dividen khas PETRONAS sebanyak RM30 bilion.

“Kerajaan menghargai PETRONAS sebagai sebuah syarikat yang telah diurus dengan cekap dan mampu mengumpul rizab yang dikongsi bersama dengan kerajaan tanpa menjejaskan keupayaan PETRONAS untuk melaksanakan pelaburan bagi pertumbuhan masa depan,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee mengumumkan komitmen dividen awal kumpulan berjumlah RM24 bilion.

Dengan dividen khas itu, bayaran dividen yang akan dibayar oleh PETRONAS adalah berjumlah RM54 bilion.

Dalam laporan Belanjawan 2019, bahagian pendapatan berkaitan petroleum kepada pendapatan keseluruhan selepas ditolak dividen khas dianggarkan meningkat kepada 19.5 peratus tahun depan berbanding 21.7 peratus pada 2018.

Royalti petroleum diunjurkan mencecah RM5.6 bilion, sejajar dengan anggaran sederhana harga minyak mentah.

Berita Harian X