Jumaat, 2 November 2018 | 9:47pm

Firma penarafan dunia yakin komitmen fiskal kerajaan

KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan Malaysia untuk konsolidasi fiskal secara beransur-ansur diyakini, demikian kata penganalisis S&P Global Ratings.

Malah, tekanan sekali saja seperti bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka reda selepas 2019, kata Penganalisis S&P Global Ratings, Andrew Wood.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan risiko terhadap profil fiskal dan hutang Malaysia kekal tinggi memandangkan ia menguruskan isu legasi dan membiayai keutamaan utama oleh kerajaan semasa.

Katanya, terlalu bergantung kepada hasil berasaskan komoditi memberikan risiko tambahan kepada akaun fiskal Malaysia dengan ketiadaan langkah penjanaan pendapatan yang lebih berstruktur.

“Defisit fiskal yang lebih tinggi daripada yang diharapkan tahun ini dan selanjutnya, mencerminkan cabaran semasa, seperti sifar GST, pemberian subsidi petrol dan pembiayaan retrospektif akaun rebat GST.

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal secara beransur-ansur diyakini, dan tekanan sekali saja seperti pembayaran semula GST harus reda selepas 2019,” katanya mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2019, hari ini.

Dalam Belanjawan 2019, defisit fiskal pada 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus berikutan komitmen perbelanjaan Kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan seperti bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Bhd (!MDB) sebanyak RM1 bilion, pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor RM1.3 bilion, Prasarana RM1 bilion dan projek rel Kementerian Pengangkutan RM1.4 bilion serta bayaran balik GST RM3.9 bilion.

Bagi tiga tahun akan datang, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka akan terus berkurangan kepada sekitar 2.0 peratus.

Kerajaan Persekutuan juga menstruktur semula pendekatan belanjawan melalui sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan kerana perbelanjaan dibuat melalui penilaian matlamat peruntukan, dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun lalu, dan semua perbelanjaan yang menurut budi bicara akan dirancang dari sifar.

Berita Harian X