Khamis, 8 November 2018 | 2:19pm

Paras tinggi hutang negara dijangka berterusan - Moody's

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 menunjukkan ketelusan lebih tinggi dalam akaun awam negara dan memberikan tumpuan terhadap pertumbuhan terangkum, yang jika dapat dikekalkan akan menjadi kredit positif, kata Moody's Investors Service.

Namun, dalam jangka terdekat firma penarafan antarabangsa itu berkata defisit fiskal yang masih tinggi dan kebergantungan semakin meningkat terhadap hasil minyak yang tidak menentu akan melemahkan profil fiskal Malaysia, sekali gus menjadi kredit negatif.

Firma itu berkata, Belanjawan 2019 yang dibentangkan minggu lalu menunjukkan tahap hutang tinggi Malaysia dijangka berterusan lebih lama daripada jangkaan, memandangkan defisit mungkin kekal melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 2020.

Katanya, pengiraan Moody juga menunjukkan hutang kerajaan akan meningkat sehingga 51.1 peratus daripada KDNK pada 2019 daripada anggaran 50.6 peratus pada 2018.

Pada tahap ini, katanya paras hutang kekal lebih tinggi berbanding unjuran penengah negara bertaraf A iaitu 40.9 peratus bagi 2018, sekali gus menunjukkan kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama.

“Dalam jangka terdekat, adalah berkemungkinan bahawa pengurangan defisit selanjutnya akan bergantung sebahagian besarnya kepada mendapatkan hasil daripada sumber bukan cukai, termasuk dividen lebih tinggi daripada syarikat mili kerajaan, atau meneruskan pemotongan perbelanjaan,” katanya.

“Tambahan lagi, penggantian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), hasil berkaitan petroleum meningkat kira-kira 31 peratus daripada keseluruhan pendapatan berbanding kurang daripada 16 peratus pada 2017, menjadikan hasil kerajaan terdedah kepada ketidaktentuan harga minyak,” katanya dalam satu kenyataan.

Rumusan Moody’s itu terkandung dalam laporan yang baru diterbitkan bertajuk “Kerajaan Malaysia: Ketelusan lebih tinggi adalah positif kredit, namun hutang lebih tinggi, kebergantungan kepada minyak pada Belanjawan 2019 melemahkan profil fiskal”.

Jumaat lalu, Malaysia yang diberikan penarafan A3 stabil oleh Moody’s membetangkan Belanjawan 2019, yang pertama bagi kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil alih kuasa pada Mei lalu.

Belanjawan itu menyasarkan defisit fiskal 3.4 peratus daripada KDNK bagi 2019, lebih kecil sedikit berbanding anggaran rasmi terbaharu 3.7 peratus bagi 2018.

Bagaimanapun, unjuran bagi 2018 itu adalah melebihi sasaran belanjawan asal iaitu 2.8 peratus daripada KDNK.

Bagi 2018, dividen lebih tinggi daripada PETRONAS (A1 stabil) tidak dapat mengecilkan jurang kehilangan pendapatan daripada peralihan GST kepada SST, selain perbelanjaan lebih tinggi untuk subsidi bahan api serta gaji dan emolumen.

Moody’s berkata, beberapa langkah yang dilaksanakan dan dirancang kerajaan mencerminkan komitmen meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti akaun awam.

Bagaimanapun, katanya pendedahan saiz ‘komitmen jaminan kerajaan’, iaitu jaminan kepada entiti yang memerlukan sokongan kewangan biasa, boleh menambah sehingga 10.5 peratus daripada KDNK kepada hutang kerajaan pada masa depan, memandangkan ada kemungkinan lebih tinggi bahawa sebahagian bayaran hutang entiti terbabit akan dijelaskan oleh kerajaan.

Berita Harian X