Khamis, 8 November 2018 | 4:36pm

BNM kekal OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras kadar faedah tempatan pada 3.25 peratus.

Bank pusat berkata, penunjuk ekonomi terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam aktiviti sektor swasta di peringkat domestik.

“Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kondusif.

“Aktiviti pelaburan dijangka terus mampan didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengeluaran dalam sektor utama yang didorong oleh permintaan yang menggalakkan serta usaha untuk meningkatkan automasi.

“Perbelanjaan sektor awam, bagaimanapun, dijangka memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah kerajaan menyusun semula perbelanjaanya mengikut keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

BNM berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai dasar fiskal dan pembangunan ekonomi.

“Bagi sektor luaran, eksport dijangka memberi dorongan tambahan kepada pertumbuhan, walaupun pada tahap yang lebih rendah, disebabkan oleh momentum pertumbuhan global yang semakin sederhana.

“Ekonomi dalam negeri terus menghadapi risiko pertumbuhan yang lebih perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan kelemahan yang berpanjangan dalam sektor perlombongan dan pertanian,” kata BNM.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada 2018 dan 2019.

“Inflasi keseluruhan akan mencatatkan kadar purata yang rendah pada 2018. Menjelang 2019, inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri.

“Meskipun kesan dasar cukai penggunaan pada inflasi keseluruhan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada tahun 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun,” katanya

Sementara itu, BNM berkata, sejajar dengan ekonomi serantau, pasaran kewangan domestik terus mengalami aliran keluar portfolio bukan pemastautin akibat perkembangan global.

“Bagaimanapun, pasaran kewangan kekal teratur dengan keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Sektor kewangan kekal teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan berlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh,” kata BNM.

Berita Harian X