Isnin, 12 November 2018 | 2:16pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, pada 2 November lalu. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, pada 2 November lalu. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

M40, T20 berdepan kos tinggi di bandar

BELANJAWAN pertama diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, menerima reaksi bercampur-campur daripada orang awam, terutama kumpulan pendapatan M40 dan T20 peringkat bawah yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kumpulan ini mendakwa Belanjawan 2019 tidak begitu inklusif dan tidak mendukung agenda kesaksamaan dalam menyalurkan subsidi kerana hanya tertumpu kepada kesejahteraan kumpulan B40 sahaja.

Kumpulan M40 mempunyai pendapatan boleh guna yang sangat minimum berikutan kenaikan kos sara hidup di bandar besar tidak selari dengan kenaikan pendapatan yang sangat perlahan.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpendapat agihan insentif untuk B40, M40 dan T20 perlu diperhalusi lagi supaya insentif berkenaan tertumpu kepada pendapatan boleh guna setiap golongan.

“Setiap golongan mengalami situasi berbeza kerana bergantung kepada lokasi seperti negeri dan juga bandar atau luar bandar.

“Sebagai contoh golongan M40 di Kelantan mungkin memperoleh pendapatan boleh guna yang tinggi kerana kos sara hidup di sana rendah, berbanding golongan M40 di Kuala Lumpur mungkin tidak ada pendapatan boleh guna kerana pendapatan isi rumah menyamai perbelanjaan isi rumah,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Ahmed Razman berkata, setakat ini pada Belanjawan 2019, insentif kepada M40 dan T20 hanya berbentuk pengecualian cukai untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans yang dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM7,000.

“Insentif ini masih tidak cukup terutama kepada golongan M40 di bandar. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah dengan memastikan golongan ini tidak dibebani hutang melampau dan mengawal kos barangan dan perkhidmatan supaya tidak membebankan pengguna.

“Usaha yang perlu dipergiatkan adalah kempen tidak berhutang dan aplikasi Price Catcher yang disebut pada Belanjawan 2019 harus dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengajian Dasar dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon V Navaratnam, berkata kerajaan tidak dapat melaksanakan banyak perkara pada Belanjawan 2019 disebabkan kekurangan sumber pendapatan.

“Mudah-mudahan, subsidi bahan bakar diberikan akan membantu kumpulan pendapatan M40,” katanya.

Dalam pada itu, Navaratnam berkata kerajaan boleh mengenakan cukai lebih banyak dari segi kekayaan dan cukai hartanah bagi mengembangkan pendapatannya.

Pengerusi Pusat Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi, pula berpendapat setiap golongan tidak boleh terlalu bergantung kepada insentif kerajaan semata-mata.

“Peranan kerajaan adalah menyediakan bantuan kepada isi rumah yang benar-benar memerlukan. Untuk golongan M40 dan T20, tiada bantuan khusus untuk mereka kerana isi rumah ini dilihat mampu hidup berdikari tanpa bantuan.

“Rata-rata mereka mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik. Jika hidup macam cukup makan, mungkin kena lihat perbelanjaan supaya pendapatan digunakan untuk keperluan sahaja,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X