Isnin, 12 November 2018 | 6:04pm
Fitch Ratings menjangkakan PETRONAS menerima impak minimum daripada pengumuman Belanjawan 2019.

Fitch kekal penarafan PETRONAS

KUALA LUMPUR: Firma penarafan kredit antarabangsa, Fitch Ratings menjangkakan PETRONAS menerima impak minimum daripada pengumuman Belanjawan 2019 dan mengekalkan penarafan syarikat petroleum negara itu pada AA-.

Agensi penarafan itu berkata, walaupun PETRONAS akan membayar dividen yang tinggi kepada kerajaan, namun penarafan profil kredit PETRONAS dijangka kekal kekal stabil.

“Kerajaan mempunyai sejarah yang membolehkan PETRONAS mengekalkan profil kredit dan wang tunai yang kukuh dengan dividen yang rendah susulan pendapatan yang lebih rendah, seperti yang berlaku pada 2015 dan 2016.

“Kami rasa kerajaan akan menyokong PETRONAS mengekalkan profil kredit yang sihat kerana kepentingannya menjana hasil negara dan memberi peluang kepada syarikat itu berkembang dan menjana pendapatannya,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, firma penarafan antarabangsa Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan terbitan domestik dan mata wang asing tidak bercagar kanan PETRONAS pada A1, namun mengubah tinjauan daripada stabil kepada negatif.

Ia susulan pengumuman kerajaan bahawa PETRONAS akan membayar dividen RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion (termasuk dividen istimewa sekali bayar RM30 bilion) pada 2019.

“Dalam kes syarikat minyak dan gas milik negara ini, kami tidak menjangkakan dividen khas sebanyak RM30 bilion yang akan dibayar pada 2019 akan memberi pulangan kepada kedudukan tunai bersihnya,” kata Fitch.

Pada akhir Jun 2018, PETRONAS melaporkan baki wang tunai sebanyak RM174 bilion dan hutang RM66 bilion.

Fitch menjangkakan dividen khas tambahan kepada dividen biasa, dengan jangkaan antara RM20 bilion dan RM26 bilion yang akan dibayar pada 2019 berbanding RM24 bilion tahun lalu.

Fitch juga tidak menolak kemungkinan pembayaran dividen yang lebih tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, disokong oleh peningkatan keuntungan PETRONAS berbanding 2017.

Sementara itu, Fitch turut mengekalkan penarafan Genting Bhd kepada (A-/Stabil) dan Sime Darby Plantation Bhd. (BBB+/Stabil).

Baru-baru ini kerajaan mencadangkan untuk mengkaji semula cukai kasino sehingga 35 peratus, membabitkan peningkatan 10 mata asas terhadap kadar cukai sedia ada.

Genting Malaysia bagaimanapun berkata, ia akan menkaji strategi pemasaran dan struktur kosnya bagi mengurangkan kesan kewangan kenaikan cukai yang dicadangkan.

Kerajaan juga akan melaksanakan Program Biodiesel B10 iaitu campuran 10 peratus kandungan minyak kelapa sawit untuk kegunaan sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri.

“Inisiatif ini akan memberi persekitaran positif kepada industri minyak sawit Malaysia dalam tempoh jangka panjang. Justeru, Fitch menjangkan kesan neutral kepada penarafan Sime Darby Plantation Bhd, “ kata agensi itu.

Berita Harian X