Selasa, 13 November 2018 | 4:08pm
PENGERUSI Eksekutif Rahim & Co International Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee

Peserta industri tidak pasti keupayaan skim FundMyHome

KUALA LUMPUR: Peserta industri hartanah masih tidak dapat memastikan manfaat jangka masa panjang yang boleh dicapai melalui skim pendanaan ramai yang disokong oleh kerajaan, FundMyHome.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co International Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata inisiatif kerajaan bagi membolehkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat sangat dialukan namun tidak dapat dipastikan jika rakyat bersedia menerima inovasi skim terbabit.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu bagaimana skim itu akan direncanakan memandangkan ia adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah dilaksanakan lagi sebelum ini.

“Walaupun langkah kerajaan ini harus dipuji kerana mempunyai kreativiti dan inovasi baharu, orang ramai masih perlu membuat keputusan sama ada skim itu akan berjaya atau tidak,” katanya selepas persidangan Pasaran Hartanah Malaysia: Di manakah arah tujuan pasca-PRU14? di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Rahim & Co (Juruukur Bertauliah), Choy Yue Kwong, turut menyatakan walaupun skim itu dicipta bagi pemilikan rumah pertama, ia dilihat lebih memberi manfaat kepada pelabur dan bukannya bakal pembeli.

“Jika anda melihat pecahan itu, pembeli masih perlu menyediakan 20 peratus bayaran pendahuluan walaupun ia sebenarnya adalah masalah utama dalam kalangan pembeli rumah, dengan atau tanpa skim ini.

“Pembeli masih perlu mendapatkan pinjaman bagi 20 peratus manakala 80 peratus daripada pelabur. Ia memberi lebih peluang kepada mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Kami menjangkakan lebih ramai orang akan menggunakan skim ini sebagai peluang pelaburan, sementara hanya sedikit peratusan pemilik rumah,” katanya,

Seorang lagi Pengarah Rahim & Co (Agensi Hartanah), Robert Ang, pula berkata, kebanyakan pembeli khuatir skim FundMyHome akan menjejaskan spekulasi dan meningkatkan harga hartanah tidak terjual.

“Kebimbangan terbesar pembelian rumah adalah kemampuan dan pada saat ini, kami tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menangani kebimbangan kemampuan.

“Kami percaya bahawa pada akhirnya, harga akan stabil berdasarkan kelebihan bekalan di pasaran.

“Skim ini tidak menangani masalah kemampuan pembelian. Sebenarnya, sesetengah pemaju mungkin menilai bekalan mereka yang tidak terjual untuk skim ini supaya mereka tidak akan kehilangan apa-apa. Sekiranya dibiarkan, ia menjadi masalah tambahan,” katanya.

Pengarah Urusan Frost & Sullivan GIC Malaysia Sdn Bhd, Hazmi Yusof, pula berkata, idea pemilikan rumah kini berubah dalam era digital.

“Ini adalah sesuatu yang dicerminkan dalam inisiatif kerajaan melalui skim FundMyHome. Orang ramai bagaimanapun perlu mempercayai idea ini dan untuk itu saya percaya ia perlu diterangkan dan dibincangkan supaya orang tahu apa itu skim FundMyHome.

“Saya percaya jika skim itu ditarik balik, ia akan mewujudkan satu bentuk rumah hibrid di mana sekumpulan orang boleh membantu satu sama lain memiliki rumah dan melabur dalam sesuatu yang bernilai,” katanya.

Berita Harian X