Khamis, 15 November 2018 | 3:17pm
Pengerusi The Edge Property Sdn Bhd (EdgeProp), Datuk Tong Kooi Ong pada sesi soal jawab FundMyHome di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

FundMyHome relevan untuk bantu golongan pembeli rumah pertama

PETALING JAYA: FundMyHome, skim pendanaan ramai yang disokong oleh kerajaan, adalah platform yang dianggap relevan untuk dilaksanakan pada masa ini bagi membantu golongan pembeli rumah pertama.

Pengerusi The Edge Property Sdn Bhd (EdgeProp), Datuk Tong Kooi Ong, berkata bagaimanapun ia bukanlah penyelesaian utama kerana FundMyHome hanya bertindak sebagai jalan alternatif kepada orang ramai untuk memiliki rumah.

Beliau berkata, meskipun sepanjang minggu ini pihaknya mendapat pelbagai kritikan negatif serta pandangan berbeza dari banyak pihak, namun tegasnya FundMyHome diyakini dapat menjadi antara medium penyelesaian kepada sektor hartanah di Malaysia.

“Malah ada yang menyatakan bahawa FundMyHome akan gagal sebagaimana langkah sama yang dilaksanakan di China dan Amerika Syarikat (AS). Ia mungkin seakan sama, namun apa yang kita lakukan ini adalah inovasi baharu.

“Sebagai contoh, pada 1990-an orang ramai menolak sistem perbankan Internet dan kini ia semakin meluas digunakan, sama seperti penerimaan terhadap Airbnb, Grab dan Netflix yang sukar untuk dilaksanakan ketika itu.

“Jadi, kami terbuka untuk menerima sebarang kritikan, komen dan pandangan malah bersedia untuk sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam hal ini,” katanya pada sesi soal jawab FundMyHome di sini, hari ini.

Portal hartanah, EdgeProp.my selaku penyelaras mekanisme terbaharu pemilikan rumah, menerusi FundMyHome.com akan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman pada fasa pertama pelancaran, merangkumi nilai hartanah bawah RM500,000.

Penawaran hartanah berkenaan membabitkan sembilan pemaju iaitu EcoWorld Development Group Bhd; IJM Land Bhd; IOI Properties Group Bhd; Mah Sing Group Bhd; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); PNB Development Sdn Bhd; Sunway Bhd; Trinity Group Sdn Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

Menerusi program itu, pembeli rumah perlu menyediakan 20 peratus harga rumah selain bayaran guaman sama ada melalui wang sendiri atau pinjaman bank, manakala baki 80 peratus pula dibantu dana oleh pelabur.

Kooi Ong berkata, apa yang penting ketika ini adalah memberi penjelasan kepada orang ramai supaya tidak timbul sebarang persepsi negatif mengenai usaha yang dilakukan pihaknya.

“Kami ingin membantu, namun perkara pertama adalah memberi makluman menyeluruh mengenai hal ini. Ia bukanlah langkah terbaik, namun ia adalah pilihan kepada kumpulan pembeli yang merasakan ia pilihan bersesuaian dengannya,” katanya.

Beliau berkata, menerusi konsep FundMyHome, pembeli rumah mempunyai pilihan sama ada untuk menjual atau terus menghuni kediaman masing-masing selepas tempoh komitmen tetap, iaitu lima tahun.

“Penghuninya tidak boleh keluar dari komitmen sepanjang lima tahun ini kerana ia akan menimbulkan spekulasi kepada pasaran hartanah.

“Jadi, sekiranya pembeli memilih untuk menjualnya selepas itu, dinasihatkan untuk mengikut tempoh komitmen lima tahun itu,” katanya.

Berita Harian X