Isnin, 19 November 2018 | 3:41pm
KHALID (kanan) dan Kee Sin (dua dari kanan) melihat replika projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) sempena majlis Lawatan Menteri Wilayah Persekutuan ke tapak projek (BBCC) di Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Kerajaan cari penyelesaian 74 projek pembangunan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian dengan pemaju mengenai 74 projek pembangunan yang belum diluluskan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020).

Menerusi pelan berkenaan, sejumlah 102 projek pembangunan bandar sudah diluluskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata kementerian menangani setiap projek yang mana ada antaranya sudah menerima kelulusan penuh, tetapi tidak selari dengan pelan induk.

“Selepas itu, baru kami akan berbincang dengan pemaju bagaimana untuk meneruskannya secara berkompromi.

“Jika mereka boleh bersetuju dengannya, ia adalah lebih baik. Jika selain itu, kita akan mencari jalan penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas majlis lawatan tapak projek ikonik Pusat Bandar Bukit Bintang (BBCC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eco World Development Group Bhd (Ecoworld) Tan Sri Liew Kee Sin.

Mengulas kemungkinan 74 projek berkenaan akan dibatalkan, Khalid berkata, semua projek terbabit akan diteruskan tetapi ia akan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.

“Kami masih dalam proses peralihan. Kesemua 74 projek itu akan diteruskan cuma ia agak perlahan - kita perlu mengendalikannya secara individu dan menjadi lebih pragmatik.

“Kita perlu menjaga kepentingan semua pihak yang terbabit. Kita tidak mahu sesiapa pun yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Awal bulan ini, Khalid dipetik berkata, 74 projek pembangunan sedang disiasat bagi meneliti sama ada ia memenuhi syarat atau melanggar peraturan KLCP 2020 yang baharu diwartakan.

Katanya, projek berkenaan sedang dikaji merangkumi 11 kategori dalam KLCP 2020, dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti sejarah, aplikasi pembangunan, harga tanah, had ketinggian bangunan dan lokasi.

Sementara itu, projek BBCC yang membabitkan kawasan seluas 7.85 hektar berjalan lancar dan pembangunan fasa pertama kini mencapai 25 peratus, setakat ini.

Fasa pertama BBCC merangkumi pusat beli-belah, unit runcit, pejabat strata dan pusat hiburan selain dua blok apartmen servis.

Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama EcoWorld dan UDA Holdings Bhd serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 40:40:20.

Berita Harian X