X
Khamis, 22 November 2018 | 7:43pm
PENGERUSI Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Trafik penumpang udara dijangka cecah 100 juta orang

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang udara meningkat kepada antara 100.3 juta hingga 101.1 juta penumpang pada 2018 meskipun kadar pertumbuhan antara 1.1 peratus hingga 2.2 peratus pada tahun ini.

Edisi ketiga Laporan Industri MAVCOM, Waypoint menjelaskan bahawa pertumbuhan satu angka ini disebabkan oleh pengurangan kapasiti domestik oleh syarikat penerbangan Malaysia.

Pada masa sama, pertumbuhan dalam trafik antarabangsa dijangka melebihi pertumbuhan ldomestik untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata Laporan Industri Waypoint adalah sebahagian daripada komitmen suruhanjaya sebagai pengawal selia bagi sektor ini dengan matlamat mewujudkan industri penerbangan yang lebih mampan di Malaysia dengan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai sektor ini secara menyeluruh.

Malaysia mencatatkan 50.3 juta penumpang antarabangsa dan domestik pada separuh pertama 2018 dengan pertumbuhan lebih rendah daripada ramalan awal MAVCOM sebanyak 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.

Pertumbuhan trafik penumpang terutama didorong oleh laluan antarabangsa bagi separuh pertama 2018 kerana syarikat penerbangan Malaysia meningkatkan kapasiti tempat duduk antarabangsa sebanyak 8.8 peratus.

Pada masa sama, kapasiti tempat duduk domestik menurun sebanyak 4.0 peratus berikutan latihan rasionalisasi rangkaian laluan oleh dua syarikat penerbangan Malaysia yang mengurangkan kapasiti domestik mereka sebanyak 28.1 peratus.

Pertumbuhan penumpang udara pada 2019 diunjur berlegar antara 2.2 peratus dan 3.3 peratus, disokong oleh penggunaan swasta dan potensi terhadap tambang lebih rendah susulan syarikat penerbangan mengalihkan tumpuan rangkaian laluan kepada destinasi jarak dekat dan sederhana.

Sementara itu, laporan sama turut menjelaskan bahawa MAVCOM menyedari potensi tidak konsisten antara pelaksanaan levi berlepas yang akan diperkenalkan mulai 1 Jun tahun depan dengan garis panduan dan amalan baik antarabangsa Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ia berkata, MAVCOM turut menyedari menyedari levi berlepas yang dicadangkan dan ketidakselarasan potensinya dengan peningkatan kos perjalanan kepada penumpang dan implikasi lanjut kepada tahap caj lapangan terbang di bawah rangka kerja caj aeronautikal yang sedang dibangunkan oleh suruhanjaya itu.

“Namun, kami sedar Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) bagi Lapangan Terbang yang dicadangkan akan direka bentuk dengan cara yang akan memberi manfaat kepada industri penerbangan Malaysia.

“Rangka kerja itu juga akan mengutamakan perkara yang perlu dipertimbangkan untuk memasukkan ekonomi pengendali lapangan terbang Malaysia, kos kepada pengguna, struktur industri, keperluan potensi untuk meneruskan subsidi silang dalam rangkaian lapangan terbang dan proses perancangan kecekapan modal lapangan terbang masa depan,” katanya.

Berita Harian X