Jumaat, 23 November 2018 | 5:04pm
TERESA Kok. - NSTP/Azhar Ramli

Kerajaan bantu pekebun kecil capai MSPO

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama akan bersama-sama pekebun kecil dalam sektor perladangan mencapai pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), yang akan berkuat kuasa akhir 2019.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata pensijilan itu akan membolehkan pekebun kecil, yang menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pengeluaran minyak sawit negara, menaik taraf standard tanaman dan sekali gus meningkatkan kadar penembusan pasaran mereka.

“Kita mahu semua ladang dan kilang kelapa sawit diperakui oleh MSPO, oleh itu kita boleh menguar-uarkan kepada dunia bahawa produk kita berkualiti tinggi dan boleh dikesan asalnya, yang merupakan antara kriteria kelestarian yang disyaratkan oleh barat, khususnya Kesatuan Eropah (EU),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kementerian itu juga telah menambah kakitangan dan bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan untuk memasuki kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pensijilan berkenaan dalam kalangan pekebun kecil.

Kok berkata Sabah turut memberi jaminan tidak akan menambah kawasan perladangan kelapa sawit malah hanya akan menggunakan tanah pertanian sebelum ini atau tanah terbiar.

“Tidak timbul isu pembasmian hutan atau membunuh Orang Utan, ini (salah tanggapan) tersebar luas di EU,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata negeri itu amat bersetuju dengan kerajaan persekutuan dalam menyokong jaminan Malaysia kepada komuniti antarabangsa bahawa negara akan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan daripada kawasan tanahnya.

“Sebaik sahaja MSPO dilaksanakan sepenuhnya, kita mahu melihat EU berhenti daripada mendiskriminasikan minyak sawit dan memperakui manfaatnya,” katanya.

Daripada 5.8 juta hektar kawasan perladangan kelapa sawit, satu juta hektar telah disahkan MSPO dan kementerian itu menjangkakan angka berkenaan meningkat sekali ganda dalam tempoh terdekat.

“Kita menggesa pekebun kecil memanfaatkan peluang ini sekarang, dengan kerajaan bersedia untuk menyerap fi MSPO,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk membantu kumpulan pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pensijilan MSPO. - BERNAMA

Berita Harian X