Isnin, 26 November 2018 | 6:35pm
MOHD Shafie Apdal ditemuramah media selepas sidang media sesi dialog mengenai industri perkayuan Sabah di Hotel Majestic. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sabah pertimbangan larangan kekal eksport balak

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan larangan kekal bagi eksport kayu balak daripada status sementara ketika ini bagi memacu pertumbuhan berterusan dalam industri hiliran kayu dan perabot.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berkata dengan larangan kekal itu, kerajaan negeri dapat memastikan ia memiliki bahan mentah mencukupi dan berdaya saing untuk sektor hiliran berkaitan perkayuan dan pembuatan perabot.

“Melangkah ke hadapan untuk Sabah adalah berkaitan perindustrian dan hiliran. kami serius dalam meningkatkan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu taklimat media di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok; Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Datuk Low Kian Chuan; Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Wong Tack; dan Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr Jalaluddin Harun.

Berikutan kemenangan kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan pemilihannya sebagai Ketua Menteri Sabah, Shafie dan pasukan yang baru dibentuk pada akhir Mei tahun ini, menguatkuasakan pengharaman sementara bagi eksport kayu balak dan kajian semula ke atas pemegang konsesi pembalakan.

Sementara itu, Kok menyokong inisiatif Shafie dan pasukannya dalam mempertimbang sekatan kekal bagi eksport kayu balak bagi memperkasakan aktiviti hiliran kayu-kayan.

Beliau menegaskan, Malaysia adalah antara pengeluar kayu balak tropika utama dunia di mana sektor perabot negara adalah antara terbaik di kalangan 10 pengeluar utama dunia.

“Kayu, papan lapis dan sektor pembuatan perabot memiliki potensi besar untuk berkembang. Kami mahu meneruskan nilai dengan menambah komoditi negara kepada eksport 60 peratus berbanding 40 peratus.

“Semenanjung Malaysia sudah mengharamkan eksport kayu balak sejak 1985. Kami mahu menggalakkan lebih banyak latihan kemahiran dan reka bentuk kayu dan pertukangan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasil perbincangan terkini kerajaan Sabah dan kerajaan pusat mengenai royalti minyak, Shafie berkata: “Ia (perbincangan) masih diteruskan.”

Berita Harian X