Khamis, 29 November 2018 | 2:21pm
OSMAN Sapian. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Johor jangka terima pelaburan asing RM8 bilion tahun depan

ISKANDAR PUTERI: Johor dijangka menerima pelaburan asing bernilai RM8 bilion daripada syarikat-syarikat besar dunia tahun depan, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap potensi negeri.

Ketika mengumumkannya, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, berkata usaha kerajaan negeri yang berterusan berjaya meyakinkan pelabur untuk melabur dalam pelbagai industri di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan terperinci pelaburan besar itu dan jenis industri yang menerima pelaburan berkenaan.

“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah dapat meyakinkan pelaburan dari syarikat-syarikat besar dunia untuk melabur di Johor yang dianggarkan bernilai RM8 bilion pada tahun depan.

“Pelaburan ini sudah tentu akan memberikan pulangan dan impak yang besar kepada negeri dan juga rakyat Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Bagi merancakkan lagi aktiviti promosi Johor sebagai destinasi pelaburan dunia, Osman turut mengumumkan penjenamaan semula Pusat Pelaburan Negeri Johor yang ditubuhkan pada 2004 menjadi ‘Invest Johor’.

Menteri Besar dalam pada itu, turut menyifatkan 2019 sebagai ‘tahun pecutan’ bagi Johor dalam merealisasikan impian menjadikan negeri ini sebagai negeri berprestasi tinggi.

“Kita perlu memberi penekanan kepada industri berasaskan ‘3H’ iaitu ‘High Technology, High Value dan Halal Industry’ (berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan industri halal) kerana industri-industri ini adalah industri penting di peringkat global dalam memacu Johor sebagai negeri berprestasi tinggi,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X