Sabtu, 1 Disember 2018 | 2:45pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng merasmikan program ‘Smart Green Community’ di tapak pertanian dalam bandar di Lebuh Padang Tembak, hari ini. - Foto Mikail Ong

FDI meningkat hampir 4 kali ganda pada suku ketiga 2018 - Guan Eng

GEORGETOWN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM49 bilion, bagi tempoh sembilan bulan pertama, tahun ini.

Katanya, peningkatan itu hampir empat kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu kira-kira RM14 bilion, selain ia disifatkan sebagai langkah memberangsangkan.

“Ini adalah usaha kita untuk pastikan Malaysia boleh jadi baik, bersih dan membanggakan rakyat semula, bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi termasuklah pentadbiran kewangan.

“Sungguh pun kita sekarang dalam keadaan ekonomi tenat tetapi saya yakin (untuk pulihkan kewangan negara) dengan lihat beberapa unjuran baharu.

“Ia (peningkatan FDI) adalah prestasi baik sungguh pun kerajaan baru berusia enam bulan. Ini hanya permulaan dan ada jalan panjang lagi dan kita ada di landasan betul dan itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di tapak pertanian dalam bandar di Lebuh Padang Tembak dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan FDI itu antara lain mempamerkan pertambahan keyakinan dalam kalangan negara luar terhadap Malaysia yang kini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia tak bermakna kita boleh kurangkan hutang tetapi sekurang-kurangnya negara dalam keadaan sihat dan semestinya tugas berat yang perlukan masa panjang untuk memulihkan negara.

“Kita berusaha bersungguh-sungguh nak membersihkan negara dan kembalikan Malaysia ke pangkal jalan, selain mahu beri tahu dunia bahawa kita sudah dibebaskan daripada genggaman dan belenggu kleptokrasi.

“Malaysia kini jadi negara demokrasi yang sihat dan normal. Ia adalah langkah tiga tahun untuk balik ke pangkal jalan supaya kita boleh mulai sihat semula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa berhenti menuding jari kepada beliau berhubung penjualan 16 peratus kepentingan dalam IHH Healthcare Bhd (IHH).

Katanya, penjualan kepada Mitsui & Co Ltd itu adalah urusan berkaitan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang bidang kuasanya di bawah Dr Mahathir.

“Saya rasa dia (Najib) sesat sasaran kerana Khazanah bukan di bawah saya dan berharap janganlah semua perkara disasarkan kepada saya.

“Ia (penjualan saham IHH) bawah Khazanah dan ia bidang kuasa Dr Mahathir, bukan saya. Saya tak terbabit dalam urusan berkenaan dan berharap janganlah apa-apa pun nak salahkan saya,” katanya.

Berita Harian X