Isnin, 3 Disember 2018 | 2:39pm

Penjualan dana asing di Bursa Malaysia terus meningkat

KUALA LUMPUR: Aliran keluar dana asing di Bursa Malaysia melebar kepada RM244.5 juta minggu lalu berbanding RM52.3 juta minggu sebelumnya, tertinggi dalam tempoh lima minggu.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, ia berikutan langkah pelabur luar pesisir meneruskan aktiviti penjualan saham di Bursa Malaysia buat minggu ke empat berturut-turut

Dalam laporan aliran dana mingguan, Penyelidik MIDF Research, Adam M Rahim, berkata pelabur antarabangsa memasuki Bursa Malaysia pada Isnin membabitkan nilai bersih RM65.2 juta, sekali gus meneruskan belian bersih asing positif dari minggu lalu untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Katanya, sentimen meyakinkan itu disokong oleh aktiviti perbelanjaan sempena Black Friday di Wall Street yang melonjak ke paras tertinggi, di tambah pula kestabilan harga minyak mentah, Brent yang mencecah AS$60 setong.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada Selasa, aliran keluar dana asing mendadak apabila pelabur antarabangsa menarik keluar dana berjumlah RM277.1 juta, angka harian terbesar sejak awal November tahun ini.

Katanya, ia sejajar dengan kejatuhan harian FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sejak 23 Oktober.

“Sentimen pelabur meningkat pada Selasa berikutan hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperluaskan tarif perdagangan ke atas semua baki import dari China, selain tindakan undang-undang Genting Malaysia Bhd ke atas Walt Disney dan Twenty-First Century Fox Inc,” katanya.

Adam berkata, paras aliran keluar dana asing bersih menyusut kepada RM32.7 juta pada Rabu sebelum pasaran memperlihatkan aliran masuk dana bersih berjumlah AS$84.5 juta berikutan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.

Bagaimanapun, katanya pembelian asing pada Jumaat susut disebabkan aktiviti jualan besar-besaran berjumlah RM84.8 juta selepas pelabur tidak memasuki pasaran menjelang pertemuan penting antara Beijing dan Washington di Buenos Aires, Argentina.

“Jumaat turut menyaksikan penyeimbangan semula indeks MSCI,” katanya.

Beliau berkata, bagi bulan November, jumlah keseluruhan aliran keluar dana asing bersih direkodkan kepada RM718.9 juta, hampir separuh dari RM1.42 bilion yang dicatatkan pada Oktober.

Katanya, jumlah itu menyaksikan aliran keluar dana asing setakat ini pada tahun ini kepada RM10.67 bilion atau AS$2.64 bilion, angka yang tidaklah tinggi berbanding dua lagi negara ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia yang mencatatkan aliran keluar dana asing setakat ini yang melebihi AS$3 bilion.

“Purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi dana asing berada di bawah RM1 bilion untuk minggu ketiga berturut-turut, paras yang dianggap tidak aktif,” katanya.

Berita Harian X