Isnin, 3 Disember 2018 | 2:59pm
- Gambar hiasan

PMI susut ke paras terendah

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia turun ke paras terendah dalam tempoh enam bulan pada 48.2 pada November daripada 49.2 pada bulan sebelumnya, menunjukkan penurunan dalam sektor pengeluaran barangan negara.

Penyedia perkhidmatan maklumat kewangan IHS Markit dalam satu kenyataan hari ini, berkata PMI yang rendah itu menyumbang kepada penguncupan bulanan terbaharu dalam sektor pembuatan Malaysia yang menjadi lemah berikutan tekanan permintaan.

“Pesanan baharu menyusut pada November dan yang terbesar dalam masa enam bulan. Sementara itu, jualan eksport meningkat daripada bulan sebelumnya, menunjukkan kuantiti pesanan yang lemah daripada pelanggan domestik,” kata agensi itu.

Bagaimanapun, pengeluar Malaysia terus menambah senarai gaji mereka.

“Walaupun kadar pewujudan pekerjaan sederhana dan perlahan pada Oktober, ia adalah sejajar dengan purata siri. Jualan baharu yang kurang bersama dengan pengambilan kakitangan tinggi membolehkan syarikat menyalurkan sumber tambahan bagi perniagaan,” kata agensi itu.

Sementara itu, sektor pembuatan ASEAN menyaksikan peningkatan kecil keadaan operasi pada November.

PMI meningkat kepada 50.4 pada November daripada 49.8 pada Oktober, menunjukkan peningkatan sedikit dalam sektor pembuatan.

“Pengeluaran meningkat dengan kadar yang pantas sejak Jun hingga November dengan lima daripada tujuh negara dipantau oleh kaji selidik itu mencatatkan peningkatan dalam tahap pengeluaran.

“Pesanan baharu meningkat sedikit walaupun ini menandakan peningkatan daripada penurunan pada Oktober, manakala jualan eksport susut bagi empat bulan berturut-turut, walaupun kecil,” kata IHS Markit.

Ahli Ekonomi IHS Markit, David Owen, berkata negara ASEAN menyaksikan lantunan semula kecil dalam prestasi pembuatan pada November, selepas mencatatkan penurunan pada Oktober.

“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan masih lemah berbanding yang dilihat sebelum ini pada tahun ini, kerana keseluruhan pesanan meningkat hanya sedikit. Sementara itu, permintaan eksport terus merosot sejajar dengan kelembapan perdagangan global,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X