Khamis, 13 Disember 2018 | 1:39pm
Defisit fiskal Malaysia pada 2019 akan mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Foto NSTP/Nurul Shafinan Jemenon.
Defisit fiskal Malaysia pada 2019 akan mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Foto NSTP/Nurul Shafinan Jemenon.

RAM unjur defisit fiskal 3.3 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: RAM Ratings Services Bhd mengunjurkan defisit fiskal Malaysia pada 2019 akan mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding anggaran 3.6 peratus pada 2018, di tengah-tengah pertumbuhan permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaksanaan pelbagai langkah fiskal dan pembaharuan institusi yang berterusan.

Ia berkata, Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana Kerajaan yang menyasarkan kekurangan purata sebanyak 3.1 peratus daripada KDNK sepanjang 2019-2021, dianggap dapat dicapai, yang menonjolkan komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata pendapatan fiskal, tidak termasuk dividen khas PETRONAS, dijangka hanya meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM236.9 bilion (15.5 peratus daripada KDNK) pada 2019, rendah berbanding pertumbuhan 3.8 peratus pada 2017.

"Ini memaparkan peranan pendapatan yang berkaitan minyak dan gas (O&G), yang dijangka menyumbang 30.8 peratus daripada jumlah hasil (termasuk dividen) tahun depan sebagai sumber pendapatan penting yang ketara apabila langkah-langkah fiskal baru dilaksanakan.

"Dalam jangka masa panjang, pendapatan Malaysia dijangka kurang bergantung kepada pendapatan berkaitan O&G di tengah-tengah pengenalan sumber pendapatan baharu dan pembaharuan institusi yang berterusan, akan dilengkapkan dalam jangka sederhana dengan kemungkinan kenaikan pulangan daripada pelaburan dan dengan memanfaatkan sumber pendapatan bukan konvensional lain " tambahnya.

Agensi penarafan itu juga menjangkakan perbelanjaan kerajaan, tidak termasuk pembayaran balik cukai yang dinyatakan di atas akan meningkat 1.5 peratus kepada RM277.6 bilion pada 2019 disebabkan oleh penyasaran bonus penjawat awam yang lebih baik, penstrukturan semula subsidi dan program bantuan sosial, serta perbelanjaan pengurusan yang lebih baik ke atas bekalan dan perkhidmatan.

Sementara itu, hutang kerajaan diunjurkan kekal meningkat kepada 51.4 peratus daripada KDNK tahun depan kerana kos pembayaran balik hutang negara, iaitu 14.2 peratus daripada jumlah pendapatan (tidak termasuk dividen khas dari PETRONAS) dinaikkan dan trend meningkat berbanding negara serantau.

RAM Ratings berkata, risiko utama terhadap prestasi fiskal Malaysia termasuk memenuhi komitmen politik yang lebih berat dari segi fiskal dan harga tenaga global yang lebih rendah daripada jangkaan, yang akan menjejaskan pendapatan berkaitan O&G.

-BERNAMA

Berita Harian X