Jumaat, 14 Disember 2018 | 7:49am

Malaysia tangga kelima di Asia bagi kesediaan digital - UNCTAD

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tangga kelima dalam kalangan 10 ekonomi membangun terkemuka di Asia bagi kesediaannya untuk menyokong beli-belah dalam talian, berdasarkan indeks e-perdagangan Perniagaan ke Pengguna (B2C) Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) 2018.

Laporan berhubung Indeks E-Perdagangan B2C oleh UNCTAD, dikeluarkan pada 10 Disember berkata jualan B2C Malaysia menyumbang kukuh kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2016 dan antara lima negara terkemuka termasuk United Kingdom, China, Ireland dan Thailand.

Malaysia turut mencatatkan peningkatan dari segi kedudukan keseluruhan dalam kalangan ekonomi sedang membangun, di tempat ke-34 daripada ke-39 tahun lalu, mengatasi Thailand (43), Turki (47), Iran (49), Chile (50) dan Arab Saudi (52).

Indeks itu dinilai, antara lain, daripada perkongsian individu yang menggunakan Internet, perkongsian individu menerusi akaun, server Internet terjamin (biasa) dan markah kebolehpercayaan pos UPU.

Jualan B2C menyumbang 6.4 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2016.

"Ini kerana kerajaan menjadi rakan kongsi syarikat e-perdagangan China, Alibaba, untuk mewujudkan taman teknologi e-perdagangan khusus, Zon Perdagangan Bebas Digital, kemudahan pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” katanya dan menurutnya kesediaan digital telah menarik pelaburan langsung asing dalam sektor B2C.

"Dan, setakat ini, Alibaba sudah melabur AS$100 juta di Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X