Isnin, 17 Disember 2018 | 4:54pm
KETUA Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad; Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Peter Schiesser dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong Bank Berhad, Domenico Fuda hadir pada majlis pelancaran DuitNow.
KETUA Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad; Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Peter Schiesser dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong Bank Berhad, Domenico Fuda hadir pada majlis pelancaran DuitNow.

DuitNow akan diperluaskan dan ditambah e-dompet

KUALA LUMPUR: DuitNow, perkhidmatan pembayaran elektronik baharu daripada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang serta-merta dan selamat kini tersedia menerusi 14 bank tempatan dan asing.

Perkhidmatan yang tersedia bermula hari ini dilancarkan melalui saluran perbankan internet atau mudah alih Ambank (M) Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank of China (Malaysia) Bhd, BNP Paribas Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Citi Bank Bhd, Heong Leong Bank Bhd and HSBC Bank Malaysia Bhd.

Bank lain yang turut menawarkan perkhidmatan itu ialah Malayan Banking Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, susulan pelancaran itu, rangkaian institusi yang menawarkan perkhidmatan DuitNow akan diperluaskan dengan penambahan 17 bank dan syarikat e-dompet tidak lama lagi.

Katanya, pelanggan kini boleh melihat, mengubah suai atau memindahkan pendaftaran DuitNow melalui saluran perbankan internet dan mudah alih di bank-bank terbabit.

Beliau berkata, bank-bank di Malaysia bekerjasama bagi memberi kemudahan kepada pelanggan supaya mereka dapat melihat pendaftaran masing-masing di semua bank apabila mengunjungi perbankan internet atau mudah alih bagi mana-mana daripada bank terbabit.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan daripada jutaan rakyat Malaysia yang mendaftar untuk DuitNow yang membolehkan mereka menerima dana dengan menggunakan nombor telefon bimbit dan nombor MyKad mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemindahan dana sehingga RM5,000 adalah percuma bagi semua pengguna dan perusahaan kecil sederhana (PKS) di mana pelanggan boleh melakukan pemindahan dengan mengakses tab DuitNow di bawah menu ‘Pemindahan Dana’ di saluran perbankan internet atau mudah alih bank masing-masing.

Sesetengah bank juga akan mengetepikan caj transaksi DuitNow bagi pemindahan dana melebihi RM5,000.

Schiesser berkata, DuitNow adalah fasa pertama dalam langkah beberapa tahun oleh industri perbankan untuk memodenkan infrastruktur pembayaran runcit di Malaysia.

“Usaha ini bertujuan memperkenalkan satu platform yang kos efektif, tangkas dan fleksibel bagi menyokong produk e-pembayaran yang inovatif dan baru,” katanya.

DuitNow adalah perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.

Pelanggan yang ingin menerima pemindahan dana melalui DuitNow dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka perlu melakukan pendaftaran sekali sahaja untuk memautkan nombor telefon bimbit ke nombor akaun bank mereka.

Mereka juga boleh memautkan nombor MyKad atau MyPR, nombor tentera atau polis, nombor pasport atau nombor pendaftaran perniagaan ke akaun bank mereka untuk menerima wang.

Bersempena pelancaran DuitNow, satu peraduan akan dijalankan di seluruh negara bermula 8 Januari 2019 yang mana pelanggan yang mendaftar untuk menerima dana melalui DuitNow berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai jutaan ringgit.

Maklumat lanjut, layari www.duitnow.my.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X