Rabu, 19 Disember 2018 | 4:50pm

Malaysia ketiga paling banyak terima tempahan

KUALA LUMPUR: Agoda, platform tempahan penginapan dalam talian (OTA) paling pesat berkembang di dunia, mengumumkan Malaysia adalah negara ketiga terbanyak menerima tempahan di Asia bagi 2018, manakala Kuala Lumpur, bandar raya ketiga di Asia paling banyak dikunjungi.

Antara daya taraikan pelancong dari serata dunia ke Malaysia adalah kerana kepelbagaian cita rasa makanan, keindahan alam semulajadi dan layanan mesra rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Agoda berkata, Kuala Lumpur masih menjadi destinasi pilihan ramai dengan menawarkan pengalaman unik, baharu dan lama seperti mercu tanda moden Menara Berkembar PETRONAS dan suasana perkampungan tradisional seperti di Kampung Baru.

Secara keseluruhannya, Jepun masih menduduki tempat teratas iaitu negara yang paling banyak dikunjungi, diikuti oleh Thailand di tempat kedua.

Bagi kategori destinasi, Bangkok menjadi pilihan pelancong Asia diikuti Tokyo dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi pelancong dari Malaysia, destinasi tempatan terus menjadi pilihan bagi tahun ini diikuti Thailand dan Indonesia.

“Data penempahan Agoda bagi 2018 menunjukkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Kota Kinabalu menduduki lima tempat teratas sebagai destinasi pilihan ramai.

“Ini diikuti Ipoh (7), Cameron Highlands (8), Kuching (9) dan Kuantan (10).

“Bangkok turut muncul di tempat keenam dalam senarai sepuluh destinasi pilihan ramai pelancong Malaysia kerana ia adalah lokasi transit yang mudah bagi melawati tempat lain di Thailand selain sebagai syurga makanan dengan kebudayaan yang menarik,” katanya.

Berita Harian X