Isnin, 24 Disember 2018 | 8:00am
- Foto Hiasan

Industri automotif kembali rancak di bawah kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Tempoh pasca Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu terbukti menyuntik momentum ‘deruman’ bagi industri automotif negara yang dipacu permintaan serta minat baharu, selepas melalui fasa suram sejak beberapa tahun lamanya.

Pilihan raya itu tidak sekadar menyaksikan peralihan kerajaan, namun diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – insan sama yang mengasaskan projek kereta nasional pertama selaku Perdana Menteri (PM) keempat dan kini kembali menggalas tugas sebagai PM ketujuh.

Sejarah automotif negara dimulakan dengan kehadiran pengeluar kereta pertama, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (PROTON) yang ditubuhkan pada 1983 yang mempertaruhkan kemunculan model pertamanya, Proton Saga pada Julai 1985.

Ini disusuli kewujudan pengeluar kereta nasional kedua, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada 1992 yang mengetengahkan model pertama, Perodua Kancil yang dilancarkan pada Ogos 1994.

Justeru itu, tidak hairanlah Dr Mahathir tidak menunggu lama dalam kapasiti kali keduanya sebagai PM, untuk berkongsi hasrat memperkenalkan projek kereta nasional ketiga selepas 49.9 peratus pegangan saham PROTON bertukar tangan menjadi milik syarikat automotif gergasi China, Zhejiang Geely Holding Group.

Dr Mahathir menegaskan, asas idea beliau itu adalah bagi menyemarakkan semula keupayaan kejuruteraan Malaysia yang berdepan tempoh mencabar selepas Geely mengambil alih pengurusan PROTON susulan langkah pembelian saham itu.

Idea beliau bagaimanapun disambut pelbagai reaksi daripada kalangan pemerhati dan penggiat industri itu, termasuk yang menyuarakan kebimbangan bahawa projek itu boleh menjejaskan pasaran jika kerajaan berhasrat menerapkan dasar perlindungan demi memastikan kejayaan projek tersebut.

Namun, turut kedengaran suara-suara positif kalangan industri yang berpendapat kerajaan sewajarnya mempertimbang teknologi masa depan bagi projek itu seperti kenderaan elektrik berbanding penggunaan enjin pembakaran dalaman yang tradisional.

Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (IoT) atau MARii yang sebelum ini dikenali Institut Automotif Malaysia (MAI) – badan yang memantau sektor automotif negara ini, muncul sebagai pihak penyokong idea Dr Mahathir dengan menjelaskan kewajaran projek kereta nasional ketiga itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, industri automotif Malaysia telah pun mencecah tahap kemuncaknya dan mulai menuruni kitaran hayat teknologi atau ‘S-Curve.’

“Justeru, projek kereta nasional (baharu) akan dapat mengemudi Malaysia ke fasa berikutnya atau peringkat baharu industri ini,” katanya dalam satu rencana yang disiarkan di laman web institut itu.

Beliau turut menyarankan supaya projek itu bercirikan teknologi terkini yang seiring arah aliran global merangkumi pendigitalan, kecerdikan buatan, kejuruteraan nano, data sains dan bidang serta disiplin baharu masa depan.

Oleh kerana projek itu akan dikemudi sektor swasta, Madani turut menggesa pembabitan pengeluar peralatan tulen, vendor serta pihak berkepentingan yang relevan dalam projek itu.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang memantau pembangunan industri automotif di Malaysia, kerajaan menerima 21 cadangan bagi pembangunan projek itu.

Spekulasi pula mengaitkan seorang pelabur Qatar yang dikatakan berhasrat membuat pelaburan besar dalam projek itu, sekali gus membuktikan minat meluas terhadap usaha itu.

Selain itu, impak positif lain susulan pilihan raya umum terhadap industri automotif itu adalah pelaksanaan tempoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa Jun sehingga Ogos lalu.

Pengumuman itu ternyata memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan yang melonjak 50.1 peratus pada Jun lalu berbanding Mei dan terus mencecah angka melebihi 60,000 unit sehingga Ogos.

Namun, selepas pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September, angka jualan kenderaan susut 52 peratus.

Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan sasaran jumlah jualan kenderaan (TIV) Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 585,000 bagi tahun ini yang disifatkan sebagai sesuatu yang mampu dicapai.

Ini berikutan bagi tempoh Januari hingga November, TIV yang dicatatkan adalah sebanyak 550,506 unit.

Perodua kekal peneraju pasaran bagi kenderaan penumpang dengan penguasaan pasaran 42.5 peratus diikuti Honda 19.2 peratus manakala Proton mencatat 12 peratus.

Pada tahun ini juga, Perodua menyaksikan perubahan kepimpinan apabila Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya yang paling lama berkhidmat, Datuk Dr Aminar Rashid Saleh, 58, dijadual bersara pada 31 Disember ini selepas sembilan tahun menerajui syarikat itu.

Beliau akan digantikan Datuk Zainal Abidin Ahmad yang ketika ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain itu, dalam Belanjawan 2019, kerajaan turut mengumumkan penyusunan semula subsidi petrol secara bersasar untuk kumpulan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), bermula pada suku kedua tahun depan.

Di bawah mekanisme baharu itu, hanya kereta dengan kapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah serta 125cc ke bawah bagi motosikal, akan layak menikmati subsidi bahan api.

Walaupun mekanisme pelaksanaan subsidi berkenaan belum diputuskan, pengumuman itu menjadi berita kurang enak untuk PROTON memandangkan kebanyakan modelnya dipacu enjin berkapasiti 1,600cc ke atas.

Mengulas perkara itu, Ketua Kejuruteraan PROTON, Yang Jun yang ditemui di Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIAC) baru-baru ini, berkata syarikat automotif itu merancang untuk memperkenalkan model berkuasa turbo dengan kapasiti enjin 1,500cc tidak lama lagi.

PROTON juga menyaksikan perkembangan menarik apabila melancarkan kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya yang dinanti ramai, Proton X70 pada 12 Disember lalu dengan harga (atas jalan tanpa insurans) antara ​​​​​​​RM99,800 bagi model varian Standard Pacuan Dua Roda (2WD) hingga RM123,800 seunit untuk Premium 2WD.

Dalam pada itu, isu lain automotif yang menjadi perhatian ramai adalah Dasar Automotif Nasional (NAP) yang dijadual dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

Menurut Timbalan Menteri MITI, Dr Ong Kian Ming, NAP akan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan teknologi baharu.

“Tumpuan (NAP 2014) sebelum ini adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kita kini lebih memberi fokus ke arah kenderaan elektrik dan teknologi baharu,” katanya pada acara KLIAC berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X