Rabu, 26 Disember 2018 | 1:10pm
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Kerajaan semak semula duti eksport minyak sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia sedang menyemak semula struktur duti eksport minyak masak bagi meningkatkan permintaan dan mengurangkan stok.

“Kami sedang mengkaji semula struktur cukai eksport sedia ada bagi memastikan persaingan yang adil dalam pasaran,” kata Menteri Perusahaan Utama dalam jawapan e-melnya kepada soalan yang dihantar oleh Reuters.

Pengeluar minyak kelapa sawit di Asia Tenggara terjejas dengan eksport yang perlahan susulan kemerosotan permintaan disebabkan oleh nilai mata wang lebih lemah dan cukai import yang lebih tinggi.

Kemerosotan permintaan menyebabkan inventori di Malaysia meningkat ke paras tertinggi bagi tempoh hampir 18 tahun sementara stok di Indonesia yang juga pengeluar terbesar dunia turut meningkat.

Harga minyak sawit susut ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun bulan ini di tengah-tengah kejatuhan permintaan dan susut 0.9 peratus kepada RM2,108 (AS$504.55) satu tan pagi ini.

Meskipun Malaysia mengurangkan cukai eksport ke atas minyak sawit mentah kepada sifar sejak September, peserta industri berkata minyak sawit Indonesia lebih kompetitif selepas ia menurunkan harga dengan ketara, menyebabkan Malaysia meningkatkan importnya dari Indonesia.

Kos pengeluaran di Indonesia juga lebih rendah berbanding di Malaysia.

Awal bulan ini, Indonesia melonggarkan peraturan ke atas levi minyak sawit dan produk derivatif untuk memacu eksportnya.

Bagi mengimbangi import Indonesia, Kok berkata, kerajaan ketika ini menggalakkan syarikat tempatan menggunakan minyak sawit yang dihasilkan di peringkat domestik bagi mengurangkan bekalan.

“Dengan mengurangkan import, kami melihat kejatuhan signifikan dalam stok minyak sawit di Malaysia dan ini akan memacu harganya.

“Tahun depan, harga dijangka disokong permintaan daripada pasaran tradisional selepas mereka menambah stok,” katanya sambil menambah pelaksanaan mandat biodiesel pada 2019 akan memberi kesan positif kepada harga minyak sawit.

Malaysia akan meningkatkan kadar minimum kandungan bio dalam biodiesel kepada 10 peratus untuk sektor pengangkutan dan tujuh peratus bagi perindustrian.

Kok berkata, beliau menjangkakan pengeluaran sekitar 20 juta tan pada 2019.

Bulan lalu, kerajaan mengunjurkan pengeluaran sebanyak 20.5 juta tan tahun depan dan 19.8 juta tan bagi 2018.

- Reuters

Berita Harian X