Khamis, 27 Disember 2018 | 9:48am

Ringgit mengukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhan semalam untuk dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, di tengah-tengah pemulihan pasaran minyak, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1740/1770 berbanding dolar AS daripada 4.1750/1790 penutup Rabu.

Penanda aras minyak mentah Brent meningkat kira-kira lapan peratus selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memeterai perjanjian penting untuk mengurangkan pengeluaran.

Bagaimanapun, semasa dagangan Asia, harganya turun 0.64 peratus kepada AS$54.41 setong.

Peniaga lain berkata, ketegangan perdagangan China-AS semakin reda dengan kunjungan delegasi dari Washington ke Beijing pada awal Januari untuk mengadakan rundingan dengan pegawai China, turut membantu meningkatkan sentimen di pasaran.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0418/0451 berbanding 3.0441/0486 penutup Rabu dan lebih kukuh berbanding yen Jepun pada 3.7617/7648 daripada 3.7755/7802.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.2830/2877 daripada 5.2981/3040 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7454/7492 daripada 4.7528/7578. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X