Sabtu, 29 Disember 2018 | 9:30am
Penanda aras minyak Brent berlegar di sekitar AS$50 hingga AS$55 setong sejak beberapa minggu kebelakangan ini. - Foto hiasan

Pengurangan kos pengurusan keutamaan semakan Belanjawan 2019

KUALA LUMPUR: Pengurangan perbelanjaan kos pengurusan adalah pilihan utama sekiranya kerajaan memutuskan untuk menyemak semula Belanjawan 2019 jika harga minyak meneruskan aliran penurunan ke bawah AS$50 setong, demikian menurut ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peruntukan seperti bekalan dan perkhidmatan yang mewakili 11.2 peratus daripada jumlah perbelanjaan pengurusan boleh dikurangkan lagi atau ditangguhkan terutama bagi perbelanjaan yang tidak berkeperluan.


AHLI Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid - Foto Aziah Azmee

Katanya, perbelanjaan itu merangkumi kos perjalanan, bayaran khidmat jururunding, alat tulis, langganan majalah, jurnal dan seumpamanya.

"Ia membabitkan proses perolehan seperti tender terbuka atau rundingan secara terus. Justeru, perbelanjaan seperti ini boleh dinilai semula. Nilainya pada 2019 dijangka RM29 bilion," katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, baru-baru ini yang menyatakan kerajaan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah dunia susut daripada AS$50 setong.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada AS$72 setong.

Penanda aras minyak Brent berlegar di sekitar AS$50 hingga AS$55 setong sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kali terakhir semakan semula Bajet dibuat adalah pada 28 Januari 2016 apabila harga minyak ketika itu jatuh di bawah AS$35 setong untuk tempoh sebulan.

Bajet 2016 disemak semula berdasarkan anggaran harga minyak mentah Brent AS$30 hingga AS$35 setong, berbanding AS$48 pada awalnya.

Afzanizam berkata, kewajaran untuk menyemak semula Belanjawan 2019 sememangnya ada berikutan kebergantungan pendapatan kerajaan terhadap petroleum dilihat semakin meningkat.

Katanya, bagi mengekalkan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.4 peratus pada 2019, beberapa peruntukkan mungkin perlu dikurangkan.

"Selain daripada pengurangan perbelanjaan mengurus, kerajaan juga boleh pertimbang melakukan semakan terhadap perbelanjaan pembangunan.

"Ia kerana trajektori yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2019 sememangnya agak tinggi iaitu sekitar RM50 bilion berbanding purata RM45 bilion yang dicatatkan antara 2010 dan 2017," katanya.

Sementara itu Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata selain mengurangkan kos pengurusan, kerajaan juga boleh meneliti semula peruntukan yang diberi kepada Kementerian Pertahanan serta menangguhkan pembangunan projek mega.

"Perbelanjaan kos pengurusan boleh dikurangkan memandangkan kos emolumen adalah yang tertinggi. Justeru, kerajaan perlu mengurangkan pengambilan kakitangan baharu dan tidak perlu menawarkan kontrak kepada mereka yang sudah bersara.

"Untuk (perbelanjaan) Kementerian Pertahanan, kerajaan perlu mengenal pasti aset yang tidak strategik supaya dapat dijual dan pastikan analisis kos dan manfaat setiap aset baharu dilakukan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa kerajaan tidak akan menyemak Belanjawan 2019 dalam masa terdekat kerana dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga isu ketidakstabilan harga minyak dapat difahami dengan lebih jelas.

"Bagaimanapun, langkah berjimat cermat dari segi perbelanjaan dan mengawal hutang perlu diteruskan, di samping meningkatkan pendapatan yang tidak berasaskan minyak," katanya.

Berita Harian X