Isnin, 31 Disember 2018 | 2:36pm

Kerja naik taraf infrastruktur komunikasi KLIA bermula esok

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menaik taraf infrastruktur komunikasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tempoh tiga bulan akan datang mulai 1 Januari 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata ia bertujuan menambah baik pengalaman lapangan terbang di KLIA dan akan meningkatkan liputan dan kapasiti rangkaian selular secara keseluruhan di lapangan terbang itu.

"Ia bagi memenuhi keperluan digitalisasi masa depan seperti inisiatif Lapangan Terbang 4.0, ekosistem e-dagang dan pembangunan Aeropolis," katanya.

Dalam tempoh itu, pengguna dan pengunjung lapangan terbang berkemungkinan mengalami gangguan dari segi penerimaan dan kelajuan perkhidmatan talian selular dan talian lain di terminal penumpang dan kargo.

"MAHB telah menyediakan beberapa rancangan memastikan peralihan yang lancar. Antara langkah itu termasuk meletakkan telefon talian tetap di kaunter maklumat untuk kemudahan pengguna lapangan terbang, serta memastikan perkhidmatan WiFi percuma kekal pada penyambungan yang baik untuk membolehkan pengguna berkomunikasi melalui panggilan data melalui aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Messenger.

"Duta CARE lapangan terbang juga akan disediakan bagi membantu penumpang yang memerlukan bantuan," katanya.

Mereka yang mempunyai pertanyaan atau ingin memberi maklum balas boleh melakukannya melalui email di [email protected] atau hubungi nombor hotline di 03-8776 9006. - BERNAMA

Berita Harian X