Selasa, 8 Januari 2019 | 4:10pm
Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid. Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Dasar terbuka kerajaan pangkin pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pendekatan baharu kerajaan dalam menjalankan pentadbiran lebih terbuka dan telus boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, walaupun berdepan dengan prestasi ekonomi global yang perlahan.

Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid, berkata persepsi negatif terhadap ekonomi negara perlu ditangani sebaiknya dan pendekatan kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran lebih terbuka akan membantu mengatasi masalah yang berlaku secara berperingkat.

“Di Malaysia, kita selalu takut untuk membincangkan perkara negatif mengenai ekonomi kita sedangkan kita harus tahu objektif sebenar ia diperkatakan dan menerima ia menjadi cabaran kepada ekonomi.

“Namun, pendekatan kerajaan kini yang melaksanakan beberapa perkara seperti mengenai tender terbuka dan pengurangan rasuah akan memberi impak positif pada masa depan,” katanya selepas sesi taklimat ‘Memanfaatkan penyelesaian ASEAN untuk perdagangan’ menerusi Penyelesaian bagi pelaburan, perkhidmatan dan perdagangan ASEAN (ASSIST), di sini, hari ini.

Munir berkata, prestasi ekonomi pada masa ini mungkin menunjukkan tanda perlahan, tetapi secara realistik ia masih ada prospek untuk berdaya maju serta mencatatkan pertumbuhan baik pada tahun ini.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming yang berkata ekonomi Malaysia mungkin berdepan cabaran besar dan perlahan, namun tidak sehingga menyebabkan berlaku kemelesetan.

“Saya bersetuju Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan, tetapi ada petunjuk ia perlahan. Namun, pada masa sama, negara masih menunjukkan prospek yang baik menerusi pelaburan ekonomi luar negara yang terus berdaya tahan.

“Bagaimanapun, kerajaan dan sektor swasta perlu berusaha keras untuk memastikan peningkatan momentum adalah berterusan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai taklimat berkenaan, Pakar Fasilitasi Perdagangan bagi Sokongan Integrasi Serantau ASEAN daripada Kesatuan Eropah (ARISE), Paolo R Vergano, berkata sektor swasta perlu membantu negara anggota ASEAN dalam mengenal pasti dan menangani langkah bukan tarif (NTM), serta menghapuskan halangan bukan tarif (NTB) di rantau ini.

“ASSIST dilaksanakan bagi membantu dan seharusnya sektor perniagaan ASEAN mengambil peluang daripadanya.

“Mekanisme ASSIST adalah menjadikannya lebih mudah, kos efektif, secara langsung dan memberikan penyelesaian kepada mereka dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya.

ASSIST adalah platform dalam talian untuk sektor swasta mengemukakan aduan mengenai isu rentas sempadan dan dilancarkan semasa Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-48 pada 3 Ogos 2016, di Vientiane.

Berita Harian X