Isnin, 14 Januari 2019 | 4:40pm
LIM Guan Eng

Mata wang, token digital dikawal selia SC

KUALA LUMPUR: Bermula esok, mata wang digital dan token digital ditetapkan sebagai sekuriti dan akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Ia susulan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019, yang mula berkuat kuasa esok.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penawaran instrumen-instrumen berkenaan, berserta aktiviti yang berkaitan dengannya, akan memerlukan kebenaran dari SC dan perlu mematuhi undang-undang sekuriti serta peraturan-peraturan yang berkenaan.

“Kementerian Kewangan berpandangan bahawa aset digital, serta teknologi blockchain yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baharu.

“Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi satu kaedah alternatif mendapatkan dana oleh usahawan dan perniagaan-perniagaan yang baharu, serta sebagai kelas aset alternatif untuk pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, SC akan menetapkan syarat-syarat yang berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (ICO) dan perdagangan aset digital serta pasaran aset digital di Malaysia.

Katanya, rangka kerja terbabit dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung suku pertama 2019.

“Mana-mana orang yang menjalani aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum, apabila disabit, dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta,” katanya.

Berita Harian X