Khamis, 17 Januari 2019 | 3:56pm

FBM KLCI diunjur cecah 1,810 mata akhir 2019

KUALA LUMPUR: Penanda aras pasaran saham tempatan, indeks FBM KLCI diunjurkan berada pada paras 1,810 mata menjelang akhir tahun ini, dengan pasaran kekal tidak berubah pada separuh pertama tahun ini.

Ketua Penyelidik dan Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank, Alan Tan, berkata Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka menaikkan kadar faedahnya secara beransur-ansur yang akan melemahkan dolar AS, sekali gus membolehkan pemulihan bagi mata wang pasaran baharu muncul.

“Pada separuh kedua 2019, penyelesaian perang perdagangan AS-China dan kelemahan dolar AS, kami jangka minat pelabur akan kembali ke dalam pasaran baharu muncul,” katanya pada pelancaran Pinjam dan Meminjam Sekuriti (SBL) bagi pelabur runcit oleh Affin Hwang Investment Bank Bhd dengan kerjasama Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Hussain.

Mengenai prestasi ringgit, Tan berkata, dengan kelemahan dolar AS, pihaknya mengunjurkan ringgit akan mengukuh ke paras RM3.94 sedolar pada separuh kedua tahun ini dan kemungkinan mengakhiri tahun ini pada paras RM3.90 sedolar.

Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.7 peratus tahun ini.

Sementara itu, Tajuddin berkata pasaran saham Malaysia muncul sebagai pasaran kedua terbaik di Asia Pasifik berdasarkan indeks penanda aras dengan mendahului pasaran serantau lain seperti Singapura, Bangkok, Hong Kong dan Shanghai pada 2018 meskipun berdepan cabaran sukar.

Beliau berkata, meskipun tahun lalu adalah tahun mencabar dalam pelbagai segi membabitkan prestasi pasaran saham, pasaran tempatan menunjukkan pengukuhannya.

Katanya, pengenalan beberapa inisiatif utama pembangunan pasaran pada tahun lalu menyumbang dalam kemampanan kerancakan dan kondusif pasaran modal untuk semua peserta pasaran menerokainya.

“Pengenalan beberapa inisiatif utama pembangunan pasaran oleh Bursa Malaysia pada 2018 termasuk jualan singkat intrahari; program insentif berdasarkan jumlah; kempen runcit seluruh negara dan pemansuhan yuran dan insentif untuk merangsang pasaran ETF,” katanya.

Berita Harian X