Khamis, 24 Januari 2019 | 3:56pm
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto Muhd Amin Naharul

BNM kekalkan OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, BNM berkata, pada masa ini ekonomi dunia terus berkembang dengan guna tenaga di ekonomi negara maju kekal teguh, manakala permintaan dalam negeri di Asia adalah mampan.

“Bagaimanapun, momentum pertumbuhan global semakin sederhana memandangkan negara ekonomi utama mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan. Ketegangan perdagangan mula memberikan impak yang besar terhadap perdagangan dan pelaburan global.

“Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan ekonomi yang mampan. Bagi tahun 2019, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam guna tenaga dan upah. Sementara itu, pelaburan swasta akan didorong oleh projek jangka panjang industri berorientasikan eksport dan industri pasaran dalam negeri yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, BNM berkata, pertumbuhan aktiviti sektor swasta yang mampan dijangka mengimbangi perbelanjaan awam yang lebih rendah berikutan langkah konsolidasi fiskal oleh kerajaan.

“Sektor luaran dijangka menjadi perlahan berikutan pertumbuhan global yang semakin sederhana. Risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk meningkat, terutamanya akibat ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan juga kejutan berkaitan komoditi.

“Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2019,” katanya.

BNM berkata, keadaan kewangan yang semakin ketat dan volatiliti dalam pasaran kewangan yang makin ketara dijangka menjejaskan lagi prospek pertumbuhan.

“Faktor khusus di sesebuah negara seperti keadaan politik dan dasar yang semakin tidak menentu serta tahap hutang yang tinggi juga akan menjejaskan prospek pertumbuhan

“Pada tahun 2019, purata inflasi dijangka mencatatkan peningkatan yang sederhana. Kesan dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan pada tahun 2019 akan mula luput menjelang akhir tahun itu,” katanya.

Berita Harian X