Jumaat, 25 Januari 2019 | 5:00pm

OPR dijangka kekal tahun ini

KUALA LUMPUR: Kadar dasar semalaman (OPR), yang menentukan kadar faedah tempatan dijangka akan kekal tahun ini, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Dalam satu nota, Kenanga berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan pada 3.25 peratus pada Khamis adalah sejajar dengan jangkaan pasaran dan firma penyelidikan.

Ia berkata, BNM juga mengendurkan jangkaan kadar inflasinya untuk tahun 2019 dengan menggambarkannya sebagai ‘sederhana tinggi’ , dengan trajektori ‘bergantung kepada harga minyak global’.

“Walaupun sama ada kelembapan luar akan memberi kesan kepada aktiviti domestik masih boleh dinilai, hala tuju Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang mengambil pendekatan yang lembut dalam menilai kenaikan kadar menyediakan ruang yang cukup buat BNM untuk mengekalkan pendirian dasar monetari yang akomodatif.

“Ini sejajar dengan jangkaan kami terhadap OPR yang tidak berubah untuk tahun 2019,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

BNM dalam satu kenyataan berhubung pengekalan OPR berkata, pada masa ini ekonomi dunia terus berkembang dengan guna tenaga di ekonomi negara maju kekal teguh, manakala permintaan dalam negeri di Asia adalah mampan.

Bagaimanapun katanya, momentum pertumbuhan global semakin sederhana memandangkan negara ekonomi utama mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan. Ketegangan perdagangan mula memberikan impak besar terhadap perdagangan dan pelaburan global.

"Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan ekonomi yang mampan. Bagi 2019, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

"Penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam guna tenaga dan upah. Sementara itu, pelaburan swasta akan didorong projek jangka panjang industri berorientasikan eksport dan industri pasaran dalam negeri yang sedang dilaksanakan.

"Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan stabil pada 2019," katanya.

Berita Harian X