Jumaat, 25 Januari 2019 | 9:34pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran sistem dalam talian MyAzZahra di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran sistem dalam talian MyAzZahra di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sektor koperasi tempatan digesa tingkatkan perolehan kepada RM55 bilion

KELANA JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) digesa menerajui sektor koperasi untuk meningkatkan perolehannya kepada RM55 bilion daripada sasaran RM50 bilion menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata sasaran berkenaan boleh dicapai oleh koperasi dengan cabang perniagaan baharu dalam teknologi kewangan, produk halal, logistik dan agrikultur.

“Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa bagi sektor koperasi pada masa ini adalah sekitar dua peratus.

“Kerajaan menggesa ANGKASA untuk membantu koperasi yang ada di negara ini untuk meningkatkan sasaran daripada RM50 bilion kepada RM55 bilion menjelang 2020,” katanya selepas majlis pelancaran sistem dalam talian MyAzZahra di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu meningkatkan pasaran eksport bagi produk halal memandangkan permintaan yang semakin meningkat di peringkat global dengan saiz pasaran sebanyak AS$6.4 trilion (RM26.42 trilion).

Sehingga akhir 2017, terdapat sekitar 14,000 koperasi di negara ini dengan seramai 6.5 juta ahli.

Sementara itu, Orion IXL Bhd yang membangunkan sistem MyAzZahra menjangkakan sumbangan perolehan antara 30 hingga 40 peratus pada tahun pertama pengenalan sistem berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff, berkata syarikat itu akan memperoleh yuran transaksi bagi setiap pembiayaan yang diluluskan di bawah sistem berkenaan.

“MyAzZahra adalah sistem elektronik aplikasi dalam talian yang dibangunkan bagi semua koperasi di bawah naungan ANGKASA.

“Ia adalah satu penerokaan yang kukuh dan baik buat kami dan kami menjangka sekitar 200,000 ahli daripada pelbagai koperasi akan menggunakan sistem ini dalam tempoh setahun pertama.

“Kami juga menjangka lebih daripada RM1 bilion pembiayaan akan diproses tahun ini dan ia akan berkembang pesat kepada RM3 bilion menjelang 2020,” katanya.

Berita Harian X