Selasa, 29 Januari 2019 | 2:03pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hadir pada majlis pelancaran Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech di Shah Alam, hari ini. - Foto Supian Ahmad

Larangan ke atas Huawei tunggu laporan rasmi SKMM

SHAH ALAM: Kerajaan sedang menunggu laporan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum memutuskan sama ada untuk mengharamkan Huawei daripada membina infrastruktur teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata agensi itu sedang mengkaji dan menyiapkan laporan mengenai isu kebimbangan keselamatan berkenaan firma telekomunikasi dari China.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan memutuskan keputusan dan laporan SKMM akan merangkumi semua aspek termasuk kebimbangan global mengenai Huawei.

“Kita tunggu dulu laporan lengkap dari SKMM. Sebarang keputusan yang bakal diambil akan berdasarkan kepada laporan itu kelak.

“Kerajaan akan mengumumkan mengenai tindakan wajar apabila semuanya siap kelak. Apabila kita bercakap mengenai isu 5G ini, terdapat banyak pandangan yang telah dikemukakan.

“Tumpuannya adalah untuk mengkaji dan memastikan sistem itu selamat kerana kita menjangkakan ini adalah teknologi yang akan mengubah keadaan pada masa akan datang,” katanya selepas melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan mengenai penyertaan Huawei dalam membina infrastruktur 5G di Malaysia.

Huawei telah diharamkan daripada melancarkan 5G di beberapa negara lain, di tengah-tengah dakwaan aktiviti ‘cyberspying’, walaupun tiada bukti yang telah dikemukakan.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin juga pernah berkata, Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi generasi kelima (5G) dipelopori China yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Barat ketika ini.

Daim berkata, wujud alasan yang kukuh untuk Malaysia ‘takut’ dengan teknologi 5G itu, yang dikhuatiri menjadi instrumen kegiatan pengintipan siber oleh China.

Berita Harian X