Khamis, 31 Januari 2019 | 12:29pm
KELUARAN perkilangan Jepun jatuh untuk tempoh dua bulan berturut-turut pada Disember. - Foto AFP/Hiasan

Keluaran sektor perkilangan Jepun susut dua bulan berturut-turut

TOKYO: Keluaran perkilangan Jepun jatuh untuk tempoh dua bulan berturut-turut pada Disember, perkembangan terkini yang menunjukkan bahawa pertumbuhan global semakin perlahan, manakala perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan kepada eksport dan membendung aktiviti perkilangan.

Penurunan 0.1 peratus dalam pengeluaran perkilangan adalah kurang daripada 0.4 peratus, iaitu purata ramalan pasaran, menyusuli penurunan 1.0 peratus pada November, demikian menurut data rasmi kerajaan hari ini.

Pengusaha kilang yang dikaji selidik Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri menjangkakan pengeluaran jatuh 0.1 peratus pada Januari dan dijangka berkembang 2.6 peratus pada Februari, demikian menurut data itu.

Ahli ekonomi melihat aktiviti perkilangan kekal rapuh dan berkemungkinan merosot lagi kerana kelembapan ekonomi luar negara mencabar ekonomi Jepun yang bergantung kepada eksport.

Pembuat dasar Jepun bimbang kesan perang perdagangan AS-China terhadap ekonominya, pasaran utama barangan Jepun seperti kereta dan elektronik.

Perniagaan tertekan untuk melindungi margin dan keuntungan, dengan eksport pada Disember mencatat penyusutan terbesar dalam tempoh dua tahun kerana penyusutan ketara penghantaran ke China.

AS dan China membuka rundingan peringkat tinggi Rabu bertujuan merapatkan perbezaan yang mendalam berhubung amalan China berhubung harta intelek dan pemindahan teknologi.

Gabenor Bank of Japan, Haruhiko Kuroda, memberi amaran berhubung peningkatan risiko terhadap ekonomi daripada perlindungan perdagangan dan penyusutan permintaan global minggu lalu, ketika mana bank pusat itu merendahkan ramalan inflasi dan meneruskan program rangsangan.

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) merendahkan unjuran pertumbuhan global dan satu tinjauan bulan ini menunjukkan peningkatan sikap pesimis dalam kalangan peneraju perniagaan di tengah-tengah ketegangan perdagangan itu.

Kementerian perdagangan mengekalkan penilaiannya terhadap pengeluaran pekilang, yang menggambarkannya sebagai "akan meningkat secara beransur-ansur".

Ekonomi Jepun, yang ketiga terbesar di dunia, dijangka melantun daripada penguncupan suku ketiga disebabkan oleh bencana alam, tetapi ramai ahli ekonomi melihat tekanan luar yang memberi tekanan ke atas sebarang usaha untuk mempercepatkan pemulihan itu. - Reuters

Berita Harian X