Khamis, 31 Januari 2019 | 3:42pm
PENGARAH Urusan AICPA, Irene Teng (kiri) dan Setiausaha Sulit Menteri Kewangan, Muhammad Fitri Ahmad hadir pada majlis pelancaran hab global baharu AICPA di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Malaysia jadi pilihan AICPA buka hab global serantau

PETALING JAYA: Persatuan Akauntan Profesional Bertauliah Antarabangsa (AICPA) menubuhkan hab global baharunya di Malaysia, khusus untuk membantu ahlinya mendepani cabaran kewangan pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Irene Teng, berkata penubuhan hab global pertama di rantau ini membantu golongan profesional akauntan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa berikutan teknologi dilihat semakin mengambil alih tugas tradisional.

“Perniagaan dijangka lebih fokus kepada penciptaan nilai dengan mengautomasikan tugas yang berulang. Kepakaran dalam bidang seperti analisis data, pengurusan risiko siber dan model perniagaan akan memudahkan peralihan itu.

“Bagi menyokong usaha ini, terdapat keperluan untuk berubah dalam kalangan profesional kewangan supaya terus mempelajari teknologi baru dan mempelajari semula kemahiran baharu bagi menangani cabaran dunia siber yang semakin pantas,” katanya selepas pelancaran hab global baharu AICPA di sini, hari ini.

Hab baharu ini adalah yang ketiga di dunia selepas London dan Durham.

Ia ditubuhkan secara bersama oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika (AICPA) dan Institusi Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA), dan dijangka menawarkan perkhidmatan kepada 227,000 ahli dan pelajar di 184 negara rantau ini.

AICPA adalah organisasi akauntan awam profesional yang diperakui di Amerika Syarikat (AS), dengan lebih daripada 418,000 ahli di 143 negara.

CIMA, pula adalah badan profesional yang berpangkalan di United Kingdom (UK), menawarkan latihan dan kelayakan dalam bidang pengurusan perakaunan dan subjek berkaitan.

Sementara itu, menurut kajian yang dikeluarkan oleh CIMA, kebanyakan kumpulan kewangan dan profesional tidak berkembang dengan cepat untuk mengesan kesan kecerdasan buatan (AI), automasi robotik dan teknologi lain.

Penyelidikan bertajuk "Mencipta semula pembiayaan untuk dunia digital", menghimpunkan pandangan lebih 5,500 profesional kewangan di 2,000 organisasi awam dan swasta dari pelbagai saiz di 150 negara.

Menurut kajian itu, majoriti pemimpin kewangan di seluruh dunia mengatakan kecekapan pasukan mereka harus berubah dengan cepat dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menangani jurang kemahiran yang muncul akibat ledakan teknologi.

Berita Harian X