Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:10am
Pengarah Bersekutu The Economist Corporate Network, Pamela Qiu menyampaikan pembentangannya pada “Malaysia’s outlook amid global uncertainties and fiscal policy reform” yang diadakan di KL Hilton. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Malaysia ada penampan ekonomi'

KUALA LUMPUR: Persekitaran ekonomi yang mencabar akan menyederhanakan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, namun tidak mengheret negara ke dalam kancah kemelesetan, kata pakar ekonomi.

Namun, asas Malaysia yang kukuh, kecairan yang tinggi dan pengukuhan permintaan domestik menjadi penampan kepada ekonomi negara ini dalam berdepan kemelesetan di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

Pengarah Bersekutu The Economist Corporate Network, Pamela Qiu, berkata pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sederhana sebanyak 4.5 peratus tahun ini dan tahun depan berikutan pertumbuhan perlahan aktiviti eksport.

Beliau berkata, pertumbuhan perlahan aktiviti perkilangan di Amerika Syarikat (AS) dan China menjejaskan pertumbuhan eksport negara ini, seperti dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Tegasnya, walaupun aktiviti perkilangan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan perlahan, namun ia bukan disebabkan oleh kemelesetan sebaliknya oleh faktor luaran yang lemah.

“Aktiviti perkilangan (di Malaysia) masih baik, ia bukan meleset, tetapi hanya perlahan. Walaupun tahun ini kami jangka bukan tahun yang baik bagi aktiviti perkilangan dan eksport, namun sentimen pengguna akan menyokong (pertumbuhan domestik).

“Lagipun, komitmen kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rendah akan menyokong penggunaan swasta,” katanya di sini, baru-baru ini.

Kebimbangan mula tercetus di peringkat global, apabila negara seperti Itali dilaporkan mula terjerumus ke dalam kemelesetan teknikal selepas ekonominya menguncup pada suku ketiga dan suku keempat tahun lalu.

Minggu lalu, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi berkata data ekonomi eurozone adalah lebih lemah daripada jangkaan dan risiko kepada pertumbuhan telah meningkat.

Sementara itu, Ketua Penyelidik dan Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank, Alan Tan ketika ditemui baru-baru ini, berkata pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ini dengan permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan.

Namun begitu, beliau berkata, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada menerima tempias ketidaktentuan luaran terutama impak perang perdagangan AS-China.

Katanya, jika perang perdagangan AS-China bertambah buruk dengan memperlihatkan tarif dilaksanakan sepenuhnya kepada barangan China, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan terjejas sebanyak 1.5 mata peratusan.

Penganalisis Alliance DBS Research, Quah He Wei, meskipun persekitaran ekonomi mencabar, pihaknya percaya kemelesetan ekonomi tidak mungkin untuk Malaysia dengan pertumbuhan ekonomi yang kekal sihat dan kecairan yang kukuh.

Nilai eksport Malaysia berkembang kukuh tahun lalu apabila berkembang 6.7 peratus kepada RM998.01 bilion berbanding RM934.92 bilion pada 2017, sementara nilai import Malaysia juga berkembang kepada RM877.74 bilion, meningkat 4.9 peratus daripada RM836.42 bilion pada 2017.

Berita Harian X