Isnin, 4 Februari 2019 | 12:52pm

Sektor pembuatan Malaysia lemah empat bulan berturut-turut

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan Malaysia memulakan tahun 2019 mencatat penurunan bulanan empat bulan berturut-turut dalam keadaan operasi, dengan pengeluaran dan perniagaan baharu kedua-duanya susut pada Januari.

Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Nikkei Malaysia (PMI), petunjuk angka tunggal prestasi pembuatan, susut kepada 47.9 pada Januari daripada 46.8 pada Disember, meneruskan tempoh kemerosotan sekarang kepada empat bulan berturut-turut (kekal di bawah paras neutral 50.0 pada Januari menunjukkan kemerosotan seterusnya keadaan perniagaan pembuatan).

Jualan eksport juga turun, manakala tekanan permintaan yang berkurangan membolehkan syarikat mengurangkan kerja yang bertimbun.

“Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam pekerjaan, kos dikurangkan apabila belian input merosot dan stok dikurangkan,” kata IHS Markit dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, ia berkata data kaji selidik itu menunjukkan penurunan harga pembelian, membolehkan syarikat menaikkan harga masing-masing secara lebih perlahan-lahan.

“Pada masa depan, syarikat optimis yang pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan,” kata IHS Markit, sambil menambah aliran masuk perniagaan baharu juga turun bagi tempoh empat bulan.

“Walaupun permintaan lemah pada Januari pada kadar yang perlahan berbanding Disember, penurunan itu dari segi keseluruhannya adalah kukuh. Ahli panel melaporkan keadaan ekonomi tidak memberangsangkan.

“Jualan eksport juga turun dalam tempoh dikaji dengan permintaan lemah dari China, Jepun dan Korea Selatan,” kata IHS Markit. - BERNAMA

Berita Harian X