Khamis, 7 Februari 2019 | 11:36am

Peningkatan inventori tolak turun harga minyak

SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini selepas peningkatan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan berikutan tahap pengeluaran negara itu berada pada tahap tertinggi, tetapi pemotongan bekalan diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekatan Washington terhadap Venezuela menyokong pasaran.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$53.84 setong pada 0247 GMT, turun 17 sen, atau 0.3 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 26 sen, atau 0.4 peratus, pada AS$62.43 setong.

Inventori minyak mentah AS meningkat 1.3 juta tong pada minggu berakhir 1 Februari kepada 447.21 juta tong, demikian menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Sementara itu, purata pengeluaran mingguan minyak mentah AS kekal pada rekod 11.9 juta tong sehari yang di cecah akhir 2018.

AS kini adalah pengeluar minyak terbesar dunia, mengatasi Russia dan Arab Saudi.

Sekatan AS terhadap industri minyak Venezuela dijangka membekukan hasil penjualan eksport minyak mentah negara itu sebanyak 500,000 tong sehari.

Bank BNP Paribas mengurangkan anggaran purata harga 2019 untuk Brent kepada AS$68 setong dan WTI kepada AS$61 setong, kedua-duanya turun sebanyak AS$8 daripada tinjauan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X