Khamis, 7 Februari 2019 | 5:03pm

Kelembapan ekonomi China, perang perdagangan jejas aktiviti pengilangan

KUALA LUMPUR: Penyusutan aktiviti pengilangan dijangka akan berterusan dalam tempoh terdekat dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi China dan ketidakpastian mengenai perbincangan perdagangan antara republik berkenaan dan Amerika Syarikat (AS).

Kenanga Research berkata, situasi berkenaan dijangka berpanjangan meskipun kedua-dua negara berkenaan sudah menunjukkan kemajuan positif untuk menamatkan perang perdagangan antara mereka.

“Aktiviti pembelian merosot disebabkan persekitaran perniagaan yang kurang memberangsangkan mendorong pembelian input lebih rendah. Ia mengakibatkan pengeluaran jatuh tetapi kadar penyusutan berkurang sejak Disember.

“Selain itu, stok bagi barangan pengilangan digunakan bagi menyelesaikan pesanan tertunggak yang mengakibatkan kejatuhan skala dalam inventori,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Isnin lalu, IHS Markit berkata, indeks sektor pembuatan Malaysia memulakan 2019 dengan catatan penurunan bulanan empat bulan berturut-turut dalam keadaan operasi, pengeluaran dan perniagaan baharu kedua-duanya susut.

Katanya, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Nikkei Malaysia (PMI) - petunjuk angka tunggal prestasi pembuatan, susut kepada 47.9 pada Januari daripada 46.8 pada Disember, meneruskan tempoh kemerosotan sekarang kepada empat bulan berturut-turut (kekal di bawah paras neutral 50.0 pada Januari menunjukkan kemerosotan seterusnya keadaan perniagaan pembuatan).

Jualan eksport juga turun dalam tempoh kaji selidik, terbaharu dengan permintaan lemah dari China, Jepun dan Korea Selatan, manakala tekanan permintaan yang reda, membolehkan syarikat mengurangkan kerja.

Menerusi nota berkenaan, Kenanga menjangkakan inflasi akan kekal sederhana dan mengunjurkan Indeks Harga Pengguna (CPI) berada dalam lingkungan 1.0 hingga 1.5 peratus pada 2019, berbanding 1.0 peratus pada 2018.

“Ia disebabkan oleh pertumbuhan global yang lemah dan harga minyak mentah lebih rendah. Penguncupan harga minyak domestik bermula dari suku kedua 2019 dan kesan asas rendah berikutan tempoh percukaian dari Jun hingga Ogos 2018.

“Perbelanjaan operasi juga jatuh pertama kali bagi tempoh empat tahun di tengah-tengah peningkatan dalam pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, firma berkenaan turut menjangkakan peningkatan harga terutamanya disebabkan kenaikan kos buruh menerusi pelaksanaan kadar gaji minimum baharu, yang mana meningkat kepada RM1,100 daripada RM1,000 (Semenanjung) dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak.

Kenanga berkata, dengan permintaan global dan harga komoditi yang berkurangan, aktiviti pengeluaran dan eksport Malaysia dijangka akan kekal lemah.

“Oleh itu, prospek pertumbuhan lebih perlahan akan lebih realistik bagi 2019 seiring dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.7 peratus,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X