Selasa, 12 Februari 2019 | 1:14pm
NOOR Azmi Mat Said

SME Corp jalin usaha sama dengan Bank Dunia

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menjadikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan lebih relevan dalam ekonomi global, sesuai dengan arah aliran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said, berkata SME Corp sedang mengumpul data PKS untuk dikongsi dengan institusi kewangan antarabangsa itu.

"Bank Dunia melakukan penyelidikan dan kajian secara teratur. Dengan berkongsi data, ia akan membolehkan Bank Dunia mengukur pembabitan kita dan hasil daripada pelbagai komuniti dalam industri (PKS).

"Mereka juga boleh memberi hasil kajian dari segi pertumbuhan (unjuran) selain cadangan berhubung sektor yang perlu difokuskan," katanya kepada BERNAMA di luar Seminar Penyelarasan Indeks Dasar PKS ASEAN (ASPI), di sini hari ini.

Beliau berkata, SME Corp akan membuat susulan dengan Bank Dunia dan menjangka akan memperoleh maklum balas tahun ini.

Noor Azmi berkata, kerajaan mahu mewujudkan lebih banyak syarikat pertumbuhan tinggi dan pada masa sama memberi perhatian lebih kepada sektor yang mendapat permintaan tinggi. - BERNAMA

Berita Harian X