Jumaat, 15 Februari 2019 | 8:03am

India kekal sumber penting FDI Malaysia - MIDA

KUALA LUMPUR: India kekal antara sumber penting pelaburan langsung asing (FDI), terutama dalam sektor pembuatan, dan dijangkakan kekal antara 20 pelabur utama di negara ini.

Sehingga September 2018, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata 135 projek pengilangan bernilai RM5.5 bilion, dengan penyertaan dari India, dilaksanakan dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan.

“Sebahagian besar pelaburan ini membabitkan tekstil dan produk tekstil, kimia dan produk kimia, kertas dan percetakan, produk mineral bukan logam, produk elektronik dan elektrik serta produk logam asas,” katanya dalam satu kenyataan.

MIDA berkata syarikat utama India yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pengilangan mereka, termasuk Reliance Group yang terbabit dalam tekstil dan produk tekstil), RP Chemical (kimia dan produk kimia), Ranbaxy (farmaseutikal) dan Tamco Switchgear (elektrik dan produk elektronik).

“Beberapa firma India, turut meneroka sektor perkhidmatan negara termasuk ICICI Bank Ltd dalam kewangan, Wipro, Infosys dan Tata Consultancy (perkhidmatan IT), Sky Blue Media (pengiklanan media) dan Manipal International (sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata pihak berkuasa pelaburan itu meningkatkan promosi pelaburan termasuk mengenal pasti projek khusus yang mencari pelabur asing, selain memanfaatkan usaha sama strategik dengan persatuan-persatuan perniagaan.

“Walaupun pada masa ini pelaburan India besar di Malaysia, MIDA yakin masih banyak ruang untuk pelabur India meningkatkan kehadiran mereka dalam ekonomi Malaysia," katanya.

Berita Harian X