Isnin, 18 Februari 2019 | 3:42pm
KIAN MING (tengah) bersama penerima pengiktirafan produktiviti Champion iaitu CEO LH Plus Sdn Bhd, Callum Cheng (dua kiri), Pengurus Besar CCM Duopharma Biotech Berhad, Krishnakumara Reddi (kiri) dan Pengurus Pengeluaran Zeito Plastics Components Sdn Bhd, Wong Fook Sing (dua kanan) di LH Plus Sdn Bhd, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

MITI sasar 500 PKS daftar Penilaian Kesediaan Industry4WRD

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan 500 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berdaftar melalui Penilaian Kesediaan Industry4WRD bagi mengenalpasti syarikat yang bersedia untuk Industri 4.0.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming, berkata sistem pendaftaran dalam talian itu dilancarkan bagi membantu syarikat yang ingin mengetahui mengenai RA Industry4WRD.

"MITI secara rasminya melancarkan Pendaftaran Dalam Talian Penilaian Kesediaan Industry4WRD pada 28 Januari lalu bagi membantu syarikat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut nengenai penilaian kesediaan itu dan mendaftarkan syarikat mereka untuk program ini.

"Setakat ini, sebanyak 80 syarikat sudah mendaftarkan diri dalam sistem itu dan menunjukkan minat untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Industri 4WRD ini.

"Tahun ini, MPC akan memudahkan usaha penambahbaikan produktiviti industri ke arah penerapan Industri 4.0 dengan Penilaian Kesediaan Industry4WRD akan dilaksanakan kepada sebanyak 500 PKS daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan untuk menilai keupayaan dan kesediaan mereka untuk menerima pakai teknologi dan proses Industri 4.0.

"Syarikat-syarikat PKS yang berminat boleh memohon secara dalam talian di http://www.miti.gov.my/industry4wrd," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Produktiviti anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama LH Plus Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LH PLUS Sdn Bhd, Callum Chen dan Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Datuk Lim Kok Boon.

Sementara itu, Kian Ming berkata, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan produktiviti sebanyak 4.3 peratus atau RM110,858 pada 2017.

"Kerajaan sangat menyokong inisiatif yang menyeluruh dan selari untuk memacu produktiviti yang lebih tinggi dalam sektor ini.

"Penekanan harus diberikan untuk mengekalkan daya saing eksport, integrasi serantau, penerapan teknologi baharu termasuk merangkumi Industri 4.0, pembangunan bakat masa depan dan kecemerlangan perniagaan," katanya.

Pada majlis sama, Kian Ming turut menyampaikan sijil kepada tiga individu yang diiktiraf sebagai Juara Produktiviti (Productivity Champions) manakala empat syarikat pula menerima Lean Recognition Certificate kerana melaksanakan inisiatif peningkatan produktiviti syarikat masing-masing.

"Tahniah kepada tiga individu dan empat organisasi atas pengiktirafan ini. Saya harap ia menjadi motivasi kepada mereka untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta kisah kejayaan dengan organisasi lain," katanya.

Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen berkaitan Industry4WRD Readiness Assessment antara MPC dan MPMA.

Dokumen itu adalah simbolik kerjasama strategik antara MPC dan MPMA dalam keseluruhan pelaksanaan Penilaian Kesediaan Industry4WRD oleh MITI dalam industri plastik.

Dalam pada itu, Mohd Razali berkata tujuan utama Hari Produktiviti adalah untuk berkongsi pengetahuan mengenai produktiviti dan pengalaman sebenar bagaimana organisasi cemerlang meningkatkan prestasi perniagaan dan mengekalkan kestabilannya.

"Majlis ini menghimpun kira-kira 40 syarikat itu dihoskan oleh LH Plus yang juga antara penerima pengiktirafan sebagai "Productivity Champion" atas inisiatif peningkatan produktiviti yang turut berkongsi kisah kecemerlangannya dalam industri pembuatan plastik," katanya.

Berita Harian X