X
Selasa, 19 Februari 2019 | 6:00pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Azhar Ramli
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Azhar Ramli

'Galak usahawan ceburi industri dron'

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menggalakkan usahawan tempatan menceburi industri dron yang dilihat amat berpotensi besar, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, kementerian juga telah mengusulkan kepada kerajaan supaya mencuba membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau kereta terbang sebagai salah satu inisiatif menggalakkan industri dron negara.

"Dalam lanjutan perbincangan dengan Jepun, mereka akan melancarkan kereta terbang pada 2025 dan tidak salah jika kita mencuba inisatif yang sama kerana mampu memberangsangkan sektor kejuruteraan negara.

"Prototaip kereta terbang itu sudah ada dan kos untuk menghasilkan kereta terbang ini juga dianggarkan AS$300,000 (RM1.23 juta).

"Kereta terbang yang dibangunkan ini boleh menempatkan dua orang dan diterbangkan sendiri. Saya sendiri akan mencuba kereta terbang ini dan demontrasi dijangka tahun ini juga," katanya selepas merasmikan Seminar Muamalat dan pelancaran Pelan Strategi Koperasi Muslimin Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, MED turut mengkaji semula cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 bagi meningkatkan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, pindaan yang dibuat itu juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam memastikan sektor koperasi kekal relevan dan kompetitif kepada pembangunan negara.

Katanya, pencapaian sektor koperasi sehingga Jun 2018 menunjukkan perolehan mencecah sebanyak RM22.5 bilion, manakala aset berjumlah RM140.4 bilion dengan keanggotaan seramai 6.55 juta orang di seluruh negara.

"Pindaan ini akan dimuktamadkan secepat mungkin kerana kita mahu memberi nilai tambah kepada sektor koperasi berikutan ia berpotensi besar menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara.

"Jika kita lihat nilai sumbangan koperasi kepada KDNK pada masa ini berjumlah RM42 bilion dan disasarkan naik kepada RM50 bilion menjelang 2020. Namun, saya mahu sektor koperasi dapat menyumbang kira-kira RM55 bilion.

"Koperasi perlu memberi fokus kepada penjanaan pendapatan daripada apa juga perniagaan yang dijalankan," katanya.

Berita Harian X