X
Jumaat, 1 March 2019 | 3:04pm
Jangkaan terhadap output bagi 12 bulan akan datang kekal positif.
Jangkaan terhadap output bagi 12 bulan akan datang kekal positif.

Pengeluar barangan Malaysia yakin prospek 2019

KUALA LUMPUR: Pengeluar barangan Malaysia yakin dengan prospek output bagi 12 bulan akan datang, di sebalik gambaran kurang menggalakkan dalam sektor pembuatan ketika ini.

Keyakinan itu disandarkan bahawa permintaan diunjurkan meningkat dan juga pelancaran produk baharu yang dirancang, namun tahap keyakinan itu adalah paling rendah dalam tempoh tiga bulan, kata Nikkei Malaysia Manufacturing PMI dalam nota penyelidikannya.

“Jangkaan terhadap output bagi 12 bulan akan datang kekal positif di sebalik mencatatkan penurunan sejak Januari. Kekukuhan ekonomi pengeluar barangan Malaysia susut buat lima bulan berturut-turut pada Februari, dengan terus menyaksikan penurunan dalam output dan juga tempahan baharu.

“Tahap penggajian terhenti, manakala caj-caj output tidak meningkat buat pertama kali dalam lapan bulan berikutan kos operasi turun sedikit. Kemerosotan jualan pengeluaran menyebabkan syarikat mengurangkan aktiviti belian dan inventori,” katanya.

Joe Hayes, pakar ekonomi di IHS Markit yang mengumpulkan kaji selidik itu berkata, data Februari menunjukkan ekonomi pembuatan Malaysia menguncup, mencerminkan pengeluaran dan jualan akan terus mencatatkan penurunan.

“Tempahan baharu mencatatkan kemerosotan paling ketara dalam sejarah kaji selidik, dengan panelis melaporkan asas permintaan tidak memberangsangkan.

“Prospek pembuatan dalam tempoh terdekat dilihat kurang memberangsangkan berikutan firma-firma memilih untuk mengekalkan jumlah tenaga kerja, menurunkan skala input belian dan mengurangkan inventori, menunjukkan firma-firma akan meneruskan pengurangan pengeluaran,” katanya.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X